PAS Pulau Pinang komited bantu SPRM cegah rasuah

- Advertisement -

BAGI merealisasikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh PAS Pusat, Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang dalam lawatan kerjanya ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada 28 Februari 2017 menyatakan komitmen untuk bersama-sama SPRM bagi mencegah perbuatan rasuah terutamanya di kalangan ahli politik.

- Advertisement -

Pertemuan lebih dua jam antara PAS Pulau Pinang bersama Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abd Aziz Aban di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang itu banyak membincangkan mengenai perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dikalangan ahli politik terutamanya yang memegang jawatan di dalam badan awam.

Selain taklimat mengenai rasuah daripada pihak SPRM, isu-isu semasa di Pulau Pinang yang berkaitan dengan unsur rasuah dan salah guna kuasa juga turut dibincangkan secara serius.

Ustaz Mohd Fauzi Yusoff selaku Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang mengetuai delegasi PAS memberikan komitmen penuh untuk membantu SPRM bersama-sama membanteras dan mencegah perbuatan rasuah terutamanya daripada aspek kesedaran agama dan perundangan Islam.

Selain Ustaz Mohd Fauzi, ahli delegasi daripada PAS yang turut hadir ialah Setiausaha PAS Negeri Sdr Iszuree Ibrahim, Ketua Pemuda PAS Negeri Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Penerangan PAS Negeri Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sdr Bukhari Ghazali dan Pengerusi Lajnah Guaman PAS Negeri Ustaz Ahmad Jailani.

Di akhir pertemuan, Datuk Abd Aziz Aban merakamkam setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian PAS Pulau Pinang mengadakan kunjungan hormat dan menjalin hubungan dengan pihak SPRM.

Beliau menyanjung tinggi sikap PAS Pulau Pinang yang menghormati SPRM sebagai institusi penguatkuasa yang bebas dan berintegriti di saat beberapa pihak lain di kalangan ahli politik yang mempunyai tanggapan sebaliknya terhadap SPRM. – HARAKAHDAILY 1/3/2017

- Advertisement -