Kewajiban terhadap diri sendiri

- Advertisement -

HUJUNG nanti, setiap diri akan kembali kepada Allah sendiri-sendiri. Itulah penyudah kita di dunia ini. Ramai mana kita berkumpul dan berjanji setia untuk bersama di dunia ini, kita tetap bersendirian menuju kubur.

Bukan pelik. Dulu, semasa kita datang ke dunia, setiap diri kita memang datang sendiri-sendiri. Di dalam setiap rahim ibu, kita berseorangan di situ berbulan-bulan. Kemudian kita tercampak ke dunia ini berseorangan. Maka tidaklah pelik, kita akan kembali kepada-Nya seorang-seorang sebagaimana kita datang ke sini pun dulu seorang-seorang.

Justeru bukan payah untuk kita memahami bahawa pada hari perhitungan di padang mahsyar nanti, masing-masing kita akan berseorangan di hadapan Allah. Kita berdiri berseorangan nanti dan di hadapan kita adalah Allah, tuhan yang mencipta, mencampakkan kita di dunia dan kemudiannya mengheret kita kembali kepada-Nya setiba ajal kita nanti.

Di mana ayah dan ibu? Di mana anak dan isteri? Di mana saudara mara dan sahabat handai? Ya, masing-masing sama seperti kita jua. Masing-masing akan bersendirian dan dipaksa menghadap Allah sendiri-sendiri. Semuanya dengan urusan masing-masing di hadapan Allah yang mencipta, mencampak ke dunia dan kemudiannya mengembalikan semua kepada-Nya setiba ajal mereka. Masing-masing terlalu sibuk untuk berpaling kiri dan kanan untuk bertanya khabar mengenai urusan orang lain.

Sebagaimana masing-masing kita di dunia mengusung rezeki masing-masing dan dengan untung nasib masing-masing, begitulah kesudahannya kita di akhirat nanti. Di sana nanti, bahagian kita adalah apa yang kita masing-masing bawa sendiri. Rezeki kita di akhirat nanti adalah amal pahala yang kita pikul dari dunia yang kita bertanam tuai di sana sepanjang umur hidup kita.

Begitulah ajaran Islam. Ia ilmu yang terang benderang. Kita masing-masing akan dipertanggungjawabkan mengenai diri masing-masing. Orang lain pula dengan diri masing-masing juga.

Ajaran awal ini meneguhkan dan mengukuhkan kewajiban dan tanggung jawab seorang muslim untuk membina diri sendiri dengan sebaik-baiknya. Tiada untung langsung membina orang lain dengan mengorbankan diri sendiri tanpa terbina. Bahkan walau diri digelar negarawan atau pahlawan bangsa kerana berjaya membina negara dan bangsa, itu semua hanyalah kosong dan sia-sia jika diri sendiri gagal dibina dengan jayanya.

Bukankah kita juga wajib menjaga anak dan isteri? Atau secara umumnya, bukankah kita juga bertanggung jawab dan berkewajiban menjaga kehidupan di sekeliling kita? Bukankah janji dan amaran membiarkan anak isteri hanyut dalam maksiat adalah dosa dan neraka? Jawabannya ya dan benar. Tetapi semua itu adalah dalam kerangka tanggung jawab dan kewajiban diri masing-masing. Setiap diri ada tanggungan masing-masing. Antaranya, selain menjaga diri, adalah juga menjaga kiri kanan yang mengelilingi hidupnya.

Dengan erti, kewajiban diri bukanlah sekadar menjaga diri. Bahkan Allah mengenakan kewajiban diri dengan turut memerintahkan agar menjaga diri-diri yang lain mengikut kekuasaan dan keluasan ‘territory’ yang ditentukan Allah untuknya.

Keluasan wilayah seorang anak tidaklah seluas wilayah kekuasaan ibu dan bapa. Begitu juga keluasan wilayah rentahan ibu bapa tidak pula seluas wilayah rentahan para penguasa dan pemerintah sebuah negara. Ia adalah tanggung jawab diri yang berbeza-beza. Kita tak sama walaupun serupa.

Dengan erti juga, kita telah berjaya melaksanakan kewajiban diri jika kita telah sempurna solat lima waktu tetapi anak isteri kita adalah sebaliknya walaupun kita sudah pun menyuruhnya. Sebaliknya kita bukanlah dikira berjaya membina diri sendiri jika anak isteri kita solat lima waktu tetapi kita sendiri tidak.

Halaman rumah bersih tetapi rumah sendiri kotor. Itu bukanlah pemilik rumah yang berjaya melunaskan tanggung jawabnya. Pun sama juga, jika pula rumahnya bersih sedangkan halamannya kotor, si pemilik rumah tetap dikira gagal menunaikan tanggung jawabnya walaupun berbeza tahapnya.

Begitulah kewajiban anjuran ugama Islam. Ia memfokuskan kewajiban terhadap tanggung jawab terhadap diri sendiri. Jika ia menyeru menjaga orang lain, maka ia adalah dalam kerangka menjaga diri sendiri dan untuk kepentingan diri sendiri. Ia tidak boleh sama sekali membiarkan diri sendiri rosak demi menjaga orang lain.

Di akhirat nanti tiada siapa pun akan bersedia menukar dirinya dengan anak atau isterinya ke neraka demi kebahagiaan anak isteri mereka di syurga. Tidak sama sekali. Malah, Allah menyebut di dalam al Quran bahawa di padang mahsyar nanti, masing-masing yang berpeluang ke syurga akan melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya dan anak isterinya, bimbang jika mereka menuntut daripadanya sesuatu yang akan menjejaskan peluangnya ke syurga.

Memahami asas utama pengajaran Islam inilah, setiap muslim wajib membina dirinya sendiri sebelum membina orang lain. Dia mesti melihat dirinya dahulu sebelum melihat orang lain. Dia mesti membaiki dirinya dahulu sebelum membaiki orang lain.

Jika keadaan ini berlaku, maka akan berlakulah pembinaan secara cepat dan serentak. Akan wujud kerjasama secara semulajadi untuk saling membina dan menjayakan. Unsur-unsur baik akan wujud tanpa gangguan dari unsur-unsur buruk yang telah berkurangan dalam masyarakat.

Perhatikan dalam sebuah masyarakat, bagaimana keburukan dan kerosakan melanda dengan cepat dan tanpa sekatan? Ya, kerana batu bata binaan masyarakat atau individu masyarakat yang lemah. Di setiap rumah, wujud individu yang tidak berilmu, tidak solat, tidak menjaga aurat, bergaul bebas dan tidak memcegah daripada kemaksiatan. Bagaimanakah individu-individu atau rumah-rumah yang sebegini mampu untuk membina sebuah masyarakat dan negara Islam?

Adalah amat penting untuk kita faham bahawa hakikat pembinaan masyarakat atau negara Islam mestilah bermula daripada binaan individu-individu yang soleh yang sentiasa berusaha membina diri masing-masing dengan menunaikan tanggung jawab masing-masing yang dibebankan oleh Allah ke atas mereka.

Kepincangan di peringkat awal inilah sebenarnya menjadi punca utama kelewatan kita melihat kejayaan atas apa yang kita impikan untuk masyarakat dan negara kita. Samada pemimpin atau rakyat, perlulah ada kesedaran yang tinggi untuk memulakan perjuangan dengan perjuangan membina diri masing-masing.

‘Mujahadatun nafs’ atau perjuangan mendidik nafsu dengan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan membuang sifat-sifat yang keji daripadanya adalah pengajaran Islam yang paling jitu dan benar. Siapa pun yang meninggalkannya, maka dia telah gagal di langkahannya yang pertama. Jika dia pemimpin, maka dialah punca utama kegagalan perjuangan ini. – HARAKAHDAILY 24/1/2017

Artikel adalah untuk kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.

- Advertisement -
- Advertisement -