Khidmat Malaysia Terengganu santuni mangsa banjir

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: “Bersabar dengan musibah dan terus berwaspada di musim tengkujuh ini.” Begitulah pesanan Pengarah Khidmat Malaysia Terengganu, Dr Azman Ibrahim ketika menyantuni mangsa banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri Telemong, semalam.

“Melihat keadaan cuaca yang masih tidak menentu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang berisiko dinaiki air dinasihatkan untuk terus berwaspada terhadap sebarang kemungkinan berlakunya gelombang banjir yang seterusnya,” tambahnya lagi.

Hujan lebat yang berlaku di negeri pantai timur semenanjung khususnya Terengganu  bermula tiga hari lepas menyebabkan beberapa kawasan di bahagian Hulu Terengganu, Hulu Dungun, Hulu Besut, Marang dan Setiu dinaiki air.

Hulu Terengganu mencatatkan jumlah terbesar mangsa banjir khususnya penduduk yang tinggal di kawasan pesisir Sungai Telemong seperti Kampung Nibong, Kampung Kepah, Kampung Matang, Kampung Paloh Nyior, Kuala Ping dan beberapa kampung lain.

Berhadapan dengan situasi ini, Dr Azman yang juga merupakan Ketua Kebajikan PAS Terengganu menjelaskan bahawa Bilik Gerakan Banjir Khidmat Malaysia Hulu Terengganu telah diaktifkan sejak pagi 31 Disember 2016 untuk menyelaraskan operasi pemindahan serta membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Keadaan cuaca yang semakin cerah dan air yang semakin surut semalam membolehkan ramai mangsa banjir mula pulang ke rumah masing-masing.

Walaupun begitu, ujar Dr Azman bebeberapa aspek perlu terus diambil perhatian untuk mengelakkan penyakit bawaan air. 

Katanya, kebersihan makanan dan minuman perlu dititik beratkan dan pastikan minum air yang telah dimasak.

“Selain bersabar dengan kerosakan harta benda, masalah kesihatan juga jangan dipandang ringan.

“Banjir adalah punca utama pelbagai penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun, Hepatitis A dan leptospirosis kerana mangsa terdedah dengan air yang tercemar.

“Jangan pandang ringan dengan penyakit-penyakit tersebut yang mempunyai simptom biasa seperti cirit-birit dan demam kerana jika lambat dirawat, ia boleh membawa maut.

“Walaupun cuaca semakin elok dan banjir semakin surut, mangsa masih perlu berhati-hati kerana sumber air yang tercemar dan keadaan persekitaran yang kotor.

“Juga jangan lalai dari menjaga keselamatan anak-anak. Walaupun mereka perlu diberikan ruang untuk menikmati zaman kanak-kanak, tetapi ada ketikanya air banjir tak mengenal simpati serta tak mengenal mangsa. Berhati-hatilah…” pesan Dr Azman lagi. – HARAKAHDAILY 2/1/2017

- Advertisement -
- Advertisement -