DHPP rakam tahniah kepada Cikgu Samuel Isaiah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mengucapkan tahniah kepada Samuel Isaiah, guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang atas kejayaan dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

- Advertisement -

Ketua Pemuda DHPP Pusat, Balendran Balasubramaniam berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau berbangga atas dedikasi serta usaha-usaha murni guru muda dari Pahang ini dalam mendidik murid-murid.

“Hingga beliau terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut. Beliau juga telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Beliau telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi pencerahan dan cetusan idea kepada murid-murid beliau yang terdiri daripada Orang Asli dalam menghubungkan mereka ke dunia luar dan mendapat pendedahan yang cukup baik.

“Kami dari DHPP berdoa agar beliau memenangi anugerah yang berprestij ini serta menndapat kejayaan cemerlang dalam bidang pendidikan sekaligus menjadi satu inspirasi kepada guru guru muda yang lain,” ujar Balendran.

Samuel memperkenalkan projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’ dan program ‘Speak Up With Poetry’ di mana para pelajar boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Projek kerjasama guru tersebut dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya para pelajar boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Dimaklumkan, sejak pengenalan pelbagai program oleh guru yang berdedikasi tersebut, purata kadar lulusan mata pelajar bahasa Inggeris di sekolah tersebut telah meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada 2015-2018.

Penganjur, iaitu Yayasan Varkey di London, dalam satu kenyataan kelmarin dahulu menyatakan, Samuel yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam, dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara.

Anugerah tersebut, yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta), merupakan program pengiktirafan guru yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pemenang Anugerah Guru Global akan menerima pembayaran hadiah US$1 juta secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun dan tahun lalu, Cikgu Sam dinobatkan penerima anugerah Guru Adiwira 2019. – HARAKAHDAILY 31/10/2020

- Advertisement -