Sejarah tercipta, Malaysia juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022

Foto daripada Facebook Malaysian Hockey Confederation.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 dengan menewaskan juara bertahan Iran, 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final di Bangkok, Thailand hari ini.

Gelaran julung kali itu diraih selepas kedudukan terikat 4-4 dalam masa permainan sebenar di Stadium Tertutup Huamark, sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan dominasi Iran selaku juara lapan kali berturut-turut sejak edisi pertama pada 2008.

Pada saat genting penentuan pukulan penalti, jaringan Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius selain kecemerlangan penjaga gol Mohd Khairul Afendy Kamaruzaman menafikan satu daripada percubaan Iran, berjaya menjulang Malaysia selaku juara.

- Advertisement -

Lebih manis, Norsyafiq Sumantri dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Terdahulu dalam masa permainan sebenar, Iran yang menduduki ranking ketiga dunia berada di depan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti Mohsen Bohlouli sebelum Malaysia bangkit mendahului 2-1 hasil gol padang Muhammad Ashran Hamsani dan Shello Silverius pada minit ke-12 dan ke-16.

Empat minit kemudian, Amirmahdi Mirzakhani meledak gol penyamaan Iran melalui jaringan padang sebelum Malaysia kembali mendahului apabila Mohd Norhafizie Jamil Azomi menyumbat gol padang pada minit ke-26.

Pasukan lawan berjaya menjadikan kedudukan 3-3 hasil gol padang Mohammad Karimi pada minit ke-32 sebelum Muhammad Ashran mencetak gol padang kedua peribadinya (minit ke-36), namun Iran sekali lagi bangkit mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Hamid Nooranian pada minit ke-38.

Ketua jurulatih negara Muhammad Amin Rahim yang gembira dengan pencapaian dilakar skuad bimbingannya memuji mutu permainan serta semangat juang ditampilkan barisan pemain dalam memburu kejayaan bersejarah itu.

“Kesungguhan mereka bermain bermati-matian untuk mencapai matlamat pasukan harus dipuji. Setiap pemain telah beri persembahan terbaik dan inilah hasil usaha keras mereka. Bukan mudah bermain tujuh perlawanan dalam tempoh lapan hari.

“Ini adalah satu sejarah dan saya harap sukan hoki dalam dewan akan terus diberikan perhatian kerana kita ada potensi yang besar untuk beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi WhatsApp kepada media hari ini.

Sebagai rekod, skuad hoki dalam dewan lelaki negara menamatkan kemarau lapan tahun untuk beraksi di pentas final selepas kali terakhir pada edisi 2014 di Changhua, Taiwan, yang menyaksikan Malaysia tewas 1-5 kepada Iran.

Sementara itu, pada saingan wanita Malaysia tidak pulang tangan kosong apabila berjaya merangkul gangsa dengan mengatasi Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di venue sama sekali gus memperbaiki pencapaian menduduki tempat keempat pada edisi 2019.

Pada pertembungan itu, dua gol pasukan negara hadir menerusi pukulan penalti yang disempurnakan Iren Hussin dan Nur Aisyah Yaacob masing-masing pada minit ke-15 dan ke-39. – BERNAMA

- Advertisement -