
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan tindakan BERSATU menentang kemasukan beberapa parti ke dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai sesuatu yang menjejaskan agenda penyatuan yang dihasratkan selama ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, tindakan BERSATU dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) itu yang menentang kemasukan parti seperti BERJASA, PEJUANG, IMAN dan PUTRA.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat walaupun kertas cadangan mengenainya sudah disiapkan, sekali gus jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini.
“PAS tidak membuat keputusan berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek, sebaliknya berasaskan penilaian terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
“Ia bukan menggembirakan tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar. Perkara yang paling utama bagi PAS ialah penyatuan ummah.
“Ditambah pula dengan kronologi sikap BERSATU di Perlis dan Negeri Sembilan, keadaan itu telah menjejaskan moral jentera PAS untuk terus bekerja bersama BERSATU dalam pilihan raya akan datang,” jelas beliau dalam media sosial miliknya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu memaklumkan, kedudukan PAS dan BERSATU dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan serta saluran yang sewajarnya.
Pada masa sama, beliau berpandangan PAS dan BERSATU tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama susulan keputusan yang dibuat.
“Sudah tentu PAS dan BERSATU tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,” tambahnya.
Terdahulu, lewat malam tadi PAS telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang turut memperakukan keputusan Majlis Syura Ulamak berkaitan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik atas prinsip penyatuan ummah.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa mengenai kedudukan serta hala tuju kerjasama PAS-BERSATU.
Pada masa sama, PAS menurut Tuan Guru, akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu demi penyatuan ummah menjelang pilihan raya akan datang, selain menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. – HARAKAHDAILY 9/6/2026




















