
KUALA TERENGGANU: Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) di bawah Sekretariat UMMAH mendesak kerajaan Persekutuan mengekalkan pendirian untuk tidak mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) sebagai kelayakan rasmi bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perkhidmatan awam negara.
Dalam kenyataannya, GANTI berkata pengiktirafan UEC dilihat bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta aspirasi pembinaan negara bangsa.
Menurut kenyataan itu, UEC merupakan sijil peperiksaan yang dikendalikan oleh Dong Zong untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan bukan sebahagian daripada sistem peperiksaan nasional seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau matrikulasi.
“Kurikulumnya digubal secara bebas dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada dasar serta kawal selia Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujar kenyataan tersebut.
Tambahnya, apabila Razak Report dan Akta Pelajaran 1961 diperkenalkan, matlamat utama negara ialah mewujudkan satu sistem pendidikan yang menyatukan rakyat berbilang kaum melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Kurikulum kebangsaan yang seragam; dan semangat kenegaraan dan perpaduan.
“Sebahagian sekolah menengah Cina memilih untuk kekal di luar sistem ini, lalu menubuhkan UEC pada tahun 1975.
“Oleh itu, UEC lahir sebagai sistem alternatif yang secara prinsipnya berada di luar kerangka pendidikan nasional,” jelas kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu juga menegaskan bahawa pengiktirafan UEC turut bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan negara telah membina sistem pendidikan kebangsaan dengan tujuan menyatukan rakyat.
“Mengiktiraf UEC bererti mengiktiraf sistem yang memilih untuk berada di luar sistem nasional,” ujarnya.
Menurut kenyataan GANTI itu lagi, pengiktirafan UEC juga dikhuatiri menghakis fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan negara seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, katanya, langkah berkenaan berpotensi menjejaskan agenda integrasi nasional kerana sistem pendidikan sepatutnya menjadi wahana perpaduan dan bukannya pemisahan masyarakat.
“Sistem yang berkembang secara terpisah berpotensi mengukuhkan polarisasi sosial,” jelasnya lagi.
Dalam kenyataan sama, GANTI berkata, hak mempelajari bahasa ibunda perlu dihormati, namun pengiktirafan rasmi oleh kerajaan mempunyai implikasi dasar yang lebih besar dan perlu selari dengan kepentingan nasional.
“Pengiktirafan UEC juga boleh menjadi ‘precedent’ kepada tuntutan lain yang berpotensi melemahkan sistem pendidikan kebangsaan,” tegasnya.
GANTI turut merujuk pandangan beberapa tokoh akademik termasuk Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Dr Anuar Ahmad dan Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang konsisten mempertahankan sistem pendidikan nasional sebagai arus perdana negara.
“Perpaduan nasional tidak boleh dikompromi. Pengiktirafan UEC memberi isyarat bahawa sistem di luar kerangka nasional boleh menuntut pengiktirafan setara,” tegasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam konteks kenegaraan, umat Islam wajib mempertahankan dasar yang memelihara maslahat umum dan perpaduan masyarakat.
Sehubungan itu, GANTI mendesak kerajaan supaya mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf UEC, memperkasa sekolah kebangsaan sebagai wadah perpaduan nasional serta memastikan semua kelayakan rasmi mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Pertubuhan itu turut menggesa kerajaan menolak tekanan politik yang dikatakan boleh menggugat asas kenegaraan.
“GANTI menegaskan bahawa masyarakat Cina bebas mengendalikan sekolah dan peperiksaan mereka sendiri.
“Namun kebebasan tersebut tidak mewajibkan kerajaan memberikan pengiktirafan rasmi yang boleh menjejaskan dasar pendidikan kebangsaan. Hak komuniti perlu dihormati, tetapi kepentingan negara mesti diutamakan.
“UEC bukan isu perkauman. Ia ialah isu dasar negara, bahasa kebangsaan, perpaduan nasional dan masa depan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











