Dr Sam sebagai Ketua Pembangkang: Tawaran terbaik PN kepada Malaysia

- Advertisement -

TAHNIAH kepada Dato’ Seri Ir Dr Samsuri Mokhtar (Dr Sam) atas pelantikan sebagai Ketua Pembangkang dan Dr Alias Razak sebagai Pengerusi PN Terengganu. Pada ghalibnya, jawatan ini menaikkan posisi beliau untuk menyaingi Perdana Menteri di Parlimen.

Semua kita amat meyakini ini adalah petanda terkuat untuk rakyat Malaysia diberikan pilihan yang sangat sesuai bagi menggantikan PMX yang sekarang ini dilihat sama sekali gagal untuk membawa Malaysia keluar dari politik yang memualkan, penuh penipuan ugutan, sekatan dan tidak matang, sama seperti sebelum ini.

Ini juga termasuk janji reformasi terhadap semua kelemahan dalam pentadbiran terdahulu, ekonomi, rasuah, hak kesamarataan, kronisme, nepotisme, tatakelola, kleptokrat dan sebagainya, gagal dilunaskan oleh Kerajaan Madani.

- Advertisement -

PAS sekarang adalah parti yang sangat dipercayai akan berjaya membawa Malaysia ke arah yang lebih baik, penuh integriti dengan bukti yang telah ditunjukkan selama 36 tahun di Kelantan tanpa salah laku kemudiannya di Terengganu dan selepas itu di semua negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS dengan panduan dari Islam, bukan omong kosong.

PAS juga sekarang telah berjaya keluar dari kepompong ‘kejumudan’ yang dilabel begitu lama oleh musuh-musuh PAS apabila Presiden PAS melancarkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dan juga memperkenalkan teknokrat-teknokrat yang mampu mengemudi kerajaan tetapi teguh menurut asas perjuangan PAS yang menurut kehendak Islam.

Pengundi-pengundi bukan sahaja dari parti musuh, bahkan dari agama yang berbeza melihat tindakan ini sebagai berani bagi memecahkan persepsi negatif yang direka musuh. Maka mereka memberikan kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir di empat buah negeri pada PRU yang lalu.

Dalam banyak kajian, PAS bukan sahaja disokong, malahan secara terbuka telah diberikan pandangan balas oleh mereka yang suatu ketika dahulu tidak menyokong PAS dengan mengajak pengundi berfikir, ‘kenapa tidak kita memberi peluang kepada PAS bagi memerintah Malaysia’ dengan melihat rekod bersih PAS.

Tidak sedikit wartawan arus perdana yang suatu ketika dahulu antara tugasan mereka ialah menjatuhkan PAS dengan apa cara sekalipun, sekarang ini juga telah berpindah sokongan kepada PAS. Mereka faham dan melihat sendiri perbezaan antara golongan yang hanya tahu bercakap politik dengan PAS yang bercakap dan buat apa yang dijanjikan.

Maka dengan gerakan kesedaran oleh berbagai lapisan rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia menjadi lebih baik, PAS menjadi satu-satunya harapan kepada perubahan Malaysia. Ditunjangi ulama dan disokong kukuh oleh profesional, cendekiawan, PN yang diterajui PAS insya-Allah akan merealisasikan harapan murni rakyat Malaysia.

Semoga Allah memberikan pertolongan bagi Dr Sam menerajui PN untuk memerintah Malaysia amin.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 18/5/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -