PUTRA gesa RUU Akta Kedaulatan Raja digubal

Ibrahim Ali
- Advertisement -

SHAH ALAM: Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Selangor, menggesa kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kedaulatan Raja bagi melindungi institusi diraja daripada sebarang bentuk penghinaan dan pencemaran martabat Raja-Raja Melayu.

- Advertisement -

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, cadangan itu disuarakan menerusi Himpunan Daulat Tuanku yang berlangsung pada Sabtu sebagai tanda taat setia dan junjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

“Kami rakyat yang berhimpun dalam Himpunan Daulat Tuanku pada hari ini dengan penuh taat setia dan junjung kasih memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk menasihati Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia agar menggubal serta memperkenankan satu Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kedaulatan Raja,” katanya.

Menurut beliau, akta itu bertujuan mencegah dan menghukum mana-mana pihak atau individu yang mempersoalkan titah diraja, menghina, mengeji, memperlekeh, mempersenda atau melakukan apa-apa tindakan yang mencemarkan martabat Raja-Raja Melayu serta institusi diraja.

Katanya, RUU Akta Kedaulatan Raja itu dicadangkan mempunyai ciri hampir sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan sebelum ini.

“RUU ini sebagai satu mekanisme perundangan khas memperuntukkan pihak yang menghina KDYMM Raja-Raja Melayu atau institusi diraja boleh ditahan tanpa waran mahkamah selama dua minggu oleh pegawai kanan polis bagi tujuan siasatan.

“RUU ini juga memperuntukkan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tahanan selama setahun dan boleh diperbaharui dari tahun ke tahun jika mereka tidak insaf atas perbuatan mempersenda Raja-Raja Melayu dan institusi diraja tanpa perbicaraan di mahkamah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penubuhan Lembaga Kedaulatan Raja bagi meneliti dan membuat syor berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak atau individu tertakluk kepada peruntukan undang-undang negara serta prinsip keadilan menurut Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ibrahim lagi, lembaga berkenaan dicadangkan dianggotai Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi, Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri serta tiga hingga empat individu lain yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau menegaskan, Akta Kedaulatan Raja itu juga dicadangkan memperuntukkan mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan mempunyai bukti mencukupi boleh dihadapkan ke mahkamah secara terbuka berdasarkan proses undang-undang yang sah menurut lunas perundangan negara.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Himpunan Daulat Tuanku turut memohon perkenan Raja-Raja Melayu agar diwujudkan sebuah Lembaga Kesetiaan Negara yang berperanan menilai serta mengesyorkan tindakan perlucutan taraf kewarganegaraan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan tindakan biadab, derhaka dan penghinaan sama ada melalui percakapan, penulisan atau apa jua bentuk perbuatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Lembaga itu dicadangkan dianggotai sembilan anggota yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dalam kenyataannya memaklumkan himpunan itu dianjurkan bersama gabungan NGO susulan kontroversi melibatkan titah Sultan Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan beberapa pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) dilihat telah melampaui batas politik serta tidak menghormati institusi diraja di Selangor.

Katanya, himpunan berkenaan bertujuan menzahirkan kesetiaan rakyat terhadap titah Sultan Selangor, selain mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja negeri itu. – HARAKAHDAILY 17/5/2026

- Advertisement -