
KUANTAN: Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Tengku Muhammad Fakhruddin Md Fauzi menggesa Pemuda PAS memperkukuhkan gerak kerja dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Ini, menurutnya susulan perubahan sokongan rakyat yang semakin memihak kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, rakyat kini semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan Madani berikutan isu kos sara hidup dan pengurusan negara.
Katanya, keadaan politik semasa membuka peluang besar kepada PAS dan PN untuk terus mendapat kepercayaan rakyat.
“Rakyat sedang mencari harapan baharu,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Paya Besar ke-31 di Permatang Badak, di sini malam tadi. (Foto atas)
Tambahnya, PAS dan PN kini mula diberikan kepercayaan untuk mengemudi negara kerana rakyat melihat kegagalan kerajaan Madani dalam mengurus ekonomi dan perpaduan negara.
Justeru, beliau menyeru jentera pemuda supaya bekerja lebih keras dalam usaha memperkukuhkan sokongan rakyat khususnya dalam kalangan anak muda.
Katanya, perjuangan tersebut perlu dibina atas asas pergantungan kepada Allah SWT, memperkukuhkan ukhuwah sesama ahli serta mempertahankan perjuangan Melayu dan Islam.
“Pemuda mesti turun ke lapangan, dekati anak muda, fahami masalah rakyat dan yakinkan mereka bahawa PAS dan PN mempunyai hala tuju yang lebih jelas untuk negara,” ujarnya yang juga ADUN Sura, Terengganu.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan disiplin organisasi dan ketaatan kepada kepimpinan sebagai asas kekuatan jamaah. – HARAKAHDAILY 17/5/2026











