Tindakan Menteri MOTAC dipersoal Pemuda PAS

Water Music Festival: Mana suara Menteri Agama?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin mempersoalkan tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung penganjuran program hiburan yang merosakkan, sehingga diangkat sebagai agenda nasional.

“Apa sebenarnya yang ada di fikiran Menteri? Kami tak kisah untuk Menteri MOTAC berseronok dan berhibur sendiri.

- Advertisement -

“Yang kami kisah apabila budaya hidup yang merosakkan ini diangkat menjadi agenda nasional sebegini,” ujar Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu dalam satu media sosial milik beliau.

Beliau berkata demikian merujuk kepada penganjuran ‘Rain Rave Water Music Festival 2026’ yang akan dibuat bermula hari ini hingga 2 Mei.

Menurut Hanif, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk berhibur secara peribadi, namun membantah apabila budaya hidup yang disifatkan merosakkan itu dipromosikan secara terbuka di negara ini.

“Lebih mendukacitakan, mana suara menteri-menteri lain? Mana suara Menteri Agama? Sepi,” tempelaknya.

Beliau menegaskan bahawa hanya suara bantahan rakyat yang kedengaran, namun ia dipandang sepi dan dibalas secara sinis oleh pihak menteri.

Sehubungan itu, beliau menegaskan golongan muda membantah keras penganjuran program seumpama itu daripada bertapak di Malaysia kerana disifatkan tidak selari dengan nilai dan budaya tempatan.

Katanya, Malaysia tidak sepatutnya menjadi tempat untuk menormalisasikan budaya hedonisme, sebaliknya mempunyai nilai dan budaya yang lebih baik untuk diketengahkan.

“Tindakan Menteri memalsukan imej Malaysia kepada dunia ini adalah cukup memualkan,” tempelaknya lagi.

Mengulas kenyataan ‘orang PAS tak perlu pergi’ yang dikaitkan dengan isu berkenaan, Hanif menyifatkan ia sebagai mencerminkan mentaliti yang cuba mempolitikkan teguran serta mengalih perhatian daripada isu sebenar.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar acara hiburan biasa, sebaliknya melibatkan festival muzik elektronik (EDM) dan konsep pesta air dengan suasana hiburan bebas.

Katanya, ia turut melibatkan kehadiran artis dengan penampilan yang dianggap mencolok mata serta diinspirasikan daripada pesta luar, yang menurutnya tidak mencerminkan budaya tempatan.

Hanif turut mengingatkan kejadian pada tahun 2014 membabitkan festival muzik berskala besar yang hampir sama, yang berakhir dengan insiden penyalahgunaan bahan terlarang akibat suasana hiburan yang tidak terkawal.

“Adakah kita mahu mengulanginya? Adakah kita mahu terus merosakkan anak-anak muda kita?” soalnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Menteri MOTAC, Tiong King Sing mempertahankan Festival Muzik Air Rain Rave 2026 sebagai acara sukarela yang dirancang rapi serta tidak wajar dipolemikkan atau dipaksakan ke atas pihak lain.

Tiong mendakwa, bantahan segelintir pihak sebagai keterlaluan, mengelirukan dan berpotensi mencetuskan keresahan, sambil menegaskan perbincangan awam perlu rasional tanpa mempolitikkan isu kaum dan agama.

“Jika ada yang merasakan tidak sesuai, mereka boleh sahaja memilih untuk tidak menyertainya, tetapi tidak wajar menafikan pilihan orang lain atau memaksakan kehendak sendiri ke atas pihak lain,” kata Tiong. – HARAKAHDAILY 30/4/2026

- Advertisement -