Umno ditolak oleh orang Melayu kerana gabung DAP

Sangkal tuduhan PAS manipulasi sentimen agama

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemuda Umno Kedah dilihat naif dan mentah dalam memahami kehendak dan aspirasi pengundi di negeri ini, demikian kata Naib Ketua Pemuda PAS Kedah, Ku Mukhlis Ku Md Ali.

- Advertisement -

Jelas beliau, Pemuda Umno Kedah dilihat seolah-olah memperkecilkan pemikiran pengundi yang rata-ratanya dari rakyat pertengahan atau ‘middle class’ di mana mewakili 78 peratus dari kalangan orang Melayu.

“Tanggapan mereka ini, seolah-olah pengundi di Kedah ini tidak pandai membuat pertimbangan serta penilaian politik dan ini satu penghinaan kepada 2.1 juta rakyat negeri ini,” tegas beliau pada kenyataannya hari ini.

Mukhlis berkata demikian bagi membidas ulasan Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah, Mohd Safwan Jaafar yang mendakwa eksploitasi agama mencengkam politik Kedah kini.

Mohd Safwan pada kenyataannya semalam mendakwa pemuda parti berkenaan perlu berada di barisan hadapan untuk mendepani isu-isu membelenggu sentimen politik di negeri ini termasuk dominasi PAS yang memanipulasi sentimen agama.

Antara lain juga kononnya naratif moral yang bersifat kosong, gagal menyelesaikan masalah rakyat, serta kerangka kerjasama lebih menguntungkan pihak lain sehingga meninggalkan Umno menanggung kos politik.

Justeru kata Mukhlis, Umno patut sedar diri, bahawa keputusan mereka bergabung dengan DAP dan menjadi UmDAP merupakan faktor utama mengapa orang Melayu menolak parti itu.

Selain juga ujarnya, tindak tanduk presiden parti tersebut yang lebih mementingkan perjuangan diri sendiri untuk mendapat jawatan dan melepaskan diri dari pertuduhan salah laku jenayah.

“Secara faktanya, boleh dirujuk keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang lalu, di mana Barisan Nasional (BN) waktu itu bertanding solo, selepas PRU baharu bergabung bersama Pakatan Harapan (PH).

“Rata-rata pengundi daripada 1.57 juta pemilih di Kedah ini, berpindah daripada undi BN  kepada undi Perikatan Nasional (PN) pada PRN  kerana keputusan Umno membawa BN untuk bersama PH.

“Contohnya di Parlimen Langkawi calon BN semasa bertanding solo mendapat 11,945 undi semasa PRU, tetapi susut kepada 10,303 undi sahaja walaupun gabung undi BN dan PH.

“Di Padang Terap, Dato’ Seri Mahadzir Khalid sendiri semasa bertanding solo Parlimen, BN mendapat 17,258, tapi susut kepada hanya 12,239 undi campuran kesemua calon PH-BN dalam parlimen,” tegasnya.

Begitu juga jelasnya lagi dengan Parlimen Pokok Sena, jika digabung undi kedua calon PH dan BN sebanyak 35,047 undi, tetapi pada PRN, menyusut dan hanya tinggal 22,323 undi sahaja.

Semua data-data tersebut ujarnya, menunjukkan trend konsisten malah PAS Kedah tidak perlu bersusah payah memujuk pengundi memilih PN kerana realitinya rakyat Kedah muak dengan perangai dan ketamakan pemimpin utama Umno itu sendiri.

Malah merujuk kepada kenyataan yang sama, Ketua Penerangan Pemuda Umno sendiri mengakui kerjasama BN dan PH di Kedah telah gagal memberikan kelebihan politik yang nyata kepada Umno

PH Kedah Safwan, terus bergerak dalam zon selesa tetapi gagal membina hubungan setara, dan menganggap sokongan Umno sebagai sesuatu yang boleh diambil mudah.

“Oleh itu kami Pemuda PAS nasihatkan Pemuda Umno Kedah agar sedar dan insaf serta kembali kepada perjuangan sebenar,” kata Mukhlis lagi. – HARAKAHDAILY 22/1/2026

- Advertisement -