
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menetapkan larangan aktiviti ‘busking’ sepanjang 10 malam terakhir Ramadan bagi memastikan suasana awam lebih tenang dan kondusif, selaras dengan keutamaan ibadah pada tempoh berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu perlu dilihat dalam kerangka lebih luas sebagai usaha mengimbangi keperluan sosial dengan tuntutan agama.
Menurutnya, 10 malam terakhir Ramadan mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam, umat Islam digalakkan untuk meningkatkan ibadah, menghidupkan malam dengan qiamullail serta mencari keberkatan Lailatulqadar.
“Justeru, larangan aktiviti ‘busking’ pada tempoh ini bertujuan memastikan ruang awam berada dalam suasana yang lebih tenang, tertib dan kondusif, selari dengan keperluan rohani masyarakat.
“Pendekatan ini berteraskan prinsip pemeliharaan agama dalam kerangka maqasid syariah, tanpa menafikan realiti kehidupan dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, larangan tersebut tidak dilaksanakan secara menyeluruh sepanjang Ramadan, sebaliknya dihadkan kepada tempoh tertentu yang mempunyai keutamaan ibadah, sekali gus mencerminkan keseimbangan antara tuntutan akhirat dan keperluan dunia.
Tambah Dr Muhammad Khalil, bagi tempoh selain 10 malam terakhir Ramadan, aktiviti ‘busking’ masih dibenarkan secara terkawal dengan garis panduan jelas, termasuk penetapan waktu persembahan, pemilihan lokasi yang tidak berhampiran masjid dan surau, serta keutamaan kepada persembahan bercorak ketuhanan.
“Kebenaran aktiviti ‘busking’ secara terkawal menunjukkan bahawa aspek seni dan kreativiti masih diberi ruang, namun dipandu dengan garis adab yang jelas.
“Penetapan waktu persembahan, pemilihan lokasi yang tidak berhampiran masjid dan surau, serta keperluan persembahan bercorak ketuhanan bertujuan memastikan aktiviti tersebut tidak melalaikan atau mengganggu kekhusyukan ibadah.
Katanya, larangan menjalankan aktiviti ‘busking’ berhampiran rumah ibadah pula selari dengan keperluan menjaga adab terhadap masjid dan surau sebagai pusat ibadah, ilmu dan ketenangan masyarakat.
“Langkah ini juga membantu mengekalkan keharmonian komuniti serta mengelakkan gangguan bunyi yang tidak sesuai dalam persekitaran sensitif sepanjang Ramadan,” jelasnya..
Dalam masa sama, ujar beliau lagi, keputusan supaya Pihak Berkuasa Tempatan tidak mengenakan fi atau caj yang membebankan kepada busker yang mematuhi syarat ditetapkan menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan serta sumber rezeki golongan terbabit.
“Secara keseluruhannya, larangan ‘busking’ pada 10 malam terakhir Ramadan ini mencerminkan satu pendekatan pengurusan yang berhemah, berpaksikan nilai agama serta mengambil kira realiti sosial.
“Ia bertujuan memastikan Ramadan di Terengganu dapat dihayati dalam suasana yang aman, beradab dan seimbang antara keperluan dunia serta tuntutan akhirat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2026




















