
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor didesak supaya tidak lagi berdolak-dalih mengenai isu pemindahan ladang penternakan babi, sebaliknya perlu mengambil tindakan tuntas selari dengan kehendak rakyat.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, pendirian rakyat di Tanjung Sepat, Kuala Langat adalah jelas iaitu mahu ladang-ladang di kawasan tersebut ditutup segera selaras dengan Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, perkataan ‘segera’ bermaksud sekarang dan bukannya dengan pelbagai alasan atau penangguhan lagi.
“Kita lihat Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Selangor 1991, khususnya Seksyen 19 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk tutup ladang babi dengan segera sekiranya berlaku pencemaran.
“Pendek kata, bukti sudah di depan mata, heret ke mahkamah, tutup ladang. Apa lagi yang ditunggu?
“Ambil contoh Allahyarham Ustaz Azizan (bekas Menteri Besar) di Kedah. Bagi notis, tutup. ‘Come what may’ orang putih kata. Itu baru tegas,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan pemindahan ke Bukit Tagar, Yusfarizal mempersoalkan perancangan terperinci kerajaan negeri memandangkan timbul banyak keraguan mengenai lokasi tersebut.
Beliau membangkitkan persoalan mengenai zon penampan bagi kawasan seluas 500 ekar itu, fasiliti biogas, kos pembiayaan serta laluan logistik lori memandangkan Bukit Tagar merupakan kawasan majoriti Melayu.
“Apa jaminan bau busuk tidak terbang ke rumah-rumah di luar zon penampan? Apa jaminan lori-lori membawa babi tidak melalui jalan-jalan akses utama di Bukit Tagar?
“Maka cadangan tersebut nampak bukan sahaja tidak mesra alam sekitar dan penduduk, bahkan model ekonominya langsung tidak viable (boleh dilaksanakan),” tegasnya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebagai rujukan, sedangkan model di Kampung Selamat dan Valdor di negeri itu turut mempunyai masalah tersendiri.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri mencari lokasi alternatif yang lebih sesuai dan selamat seperti di Pulau Ketam, dan bukannya sekadar menunggu cadangan semata-mata.
“Menteri Besar sendiri mengakui kerajaan terbuka kalau ada tapak alternatif. Terbuka sahaja buat apa? Carilah!
“Sebab itulah, isu ini terus-terusan dibangkitkan. Ia adalah isu yang real (nyata). Bukan politik. Dibawa oleh orang politik itu betul, tetapi ia bukan isu yang direka-reka,” katanya.
Sehubungan itu, Yusfarizal memohon agar kerajaan negeri memberikan jawapan jelas dan tindakan segera demi menjaga nama baik negeri, selain mengelakkan persepsi negatif berterusan daripada rakyat sempena Tahun Melawat Selangor. – HARAKAHDAILY 22/1/2026











