Gesa perincian pelan kemasukan Darjah 1 2027

Muhammad Hanif Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan tampil dengan pelan pelaksanaan yang tuntas berhubung penyelarasan pendidikan awal kanak-kanak melibatkan prasekolah bermula pada usia lima tahun dan kemasukan Darjah 1 seawal usia enam tahun, yang dijadualkan bermula pada 2027.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pengumuman Perdana Menteri berhubung perkara itu, meskipun pelaksanaan awal dimaklumkan bersifat tidak wajib pada tahun pertama.

Menurutnya, perubahan berkenaan walaupun kelihatan kecil, membawa implikasi besar dan berantai terhadap keseluruhan ekosistem pendidikan negara bermula daripada prasekolah hingga ke pendidikan tinggi pada masa hadapan.

Beliau menegaskan, walaupun kerajaan menyatakan pelaksanaan awal adalah secara sukarela, pembukaan akses lebih awal kepada sekolah awam berpotensi mendorong majoriti ibu bapa mendaftarkan anak ke Darjah 1 pada usia enam tahun.

“Keadaan ini boleh mewujudkan pertindihan kohort dan mencetuskan tekanan terhadap kapasiti sekolah, nisbah murid-guru serta pengurusan murid, khususnya di sekolah-sekolah yang sedia padat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Hanif, pelaksanaan itu turut menuntut kesiapsiagaan prasarana dan sumber manusia termasuk penambahan bilik darjah, kemudahan asas, bahan bantu mengajar, kawalan nisbah murid-guru serta latihan pedagogi khusus bagi guru Darjah 1 yang akan mengendalikan julat umur murid yang lebih luas.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa perubahan di peringkat awal pendidikan akan memberi kesan rantaian kepada kemasukan ke sekolah menengah dan seterusnya institusi pengajian tinggi.

“Ia sekaligus berisiko mencetuskan tekanan kapasiti dan ketidakseimbangan penempatan pada tahun-tahun tertentu sekiranya tiada perancangan rapi.

“Memandangkan pelaksanaan disasarkan bermula 2027, kerajaan mempunyai tempoh yang singkat untuk membuat persediaan menyeluruh,” ujarnya.

Beliau menyatakan, Pemuda PAS bimbang kelemahan perancangan awal akan mencetuskan kekalutan operasi yang akhirnya membebankan ibu bapa, guru dan murid.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut kerajaan membentangkan secara terbuka dan terperinci peta jalan pelaksanaan 2027 hingga 2030, unjuran pertambahan enrolmen Darjah 1 dan prasekolah, peruntukan kewangan bagi penambahan bilik darjah serta pelan pengambilan dan penempatan guru.

Selain itu, beliau menyarankan, kerajaan juga perlu menyediakan garis panduan transisi prasekolah ke Darjah 1, melaksanakan libat urus menyeluruh dengan pemegang taruh berkaitan serta memperincikan mekanisme pemantauan bagi mengukur impak terhadap kualiti pembelajaran.

“Pemuda PAS menegaskan bahawa dasar pendidikan tidak boleh diurus melalui pendekatan ‘umum dahulu, susun kemudian’.

“Setiap perubahan mesti disertai perancangan teliti agar benar-benar memperkukuh sistem pendidikan negara.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia akan terus memantau perkembangan isu ini demi memastikan kepentingan murid, ibu bapa dan warga pendidik sentiasa diutamakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2026

- Advertisement -