
ALOR SETAR: Pelbagai infrastruktur pelancongan sedang dan telah dibangunkan di sekeliling Masjid Zahir yang bersejarah dan diiktiraf sebagai antara masjid tertua di Kedah, sekali gus memiliki nilai seni bina serta warisan Islam yang tinggi dan signifikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, Masjid Zahir antara infrastruktur pelancongan tersebut ialah perkhidmatan bot menyusuri Sungai Kedah, sungai bersejarah yang menjadi saksi hubungan rapat antara masjid, bandar Alor Setar dan perkembangan awal tamadun negeri ini.
Selain itu menurutnya, kemudahan ‘homestay’ dan ‘roomstay’ juga disediakan di belakang Masjid Zahir bagi kemudahan pengunjung.
“Masjid Zahir bukan sekadar rumah ibadah. Ia berkembang sebagai nadi tarikan pelancongan Negeri Kedah yang menghubungkan sejarah, budaya dan pengalaman moden dalam satu destinasi yang unik,” katanya.
Menurut beliau, pengunjung bukan sahaja dapat melihat keindahan seni bina masjid, malah berpeluang menyelami kisah lama Kedah dari perspektif sungai melalui pengalaman pelayaran yang mendamaikan.
“Di sinilah pertemuan antara ibadah, sejarah, pelancongan dan komuniti dirasai dalam satu perjalanan yang bermakna,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau.
Tambah Mohd Azam, Masjid Zahir bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah utama umat Islam di Kedah, malah turut berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu, aktiviti kemasyarakatan serta mercu tanda pelancongan negeri yang menjadi tarikan kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
Dalam usaha memastikan masjid bersejarah ini terus terpelihara dan relevan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat telah berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Cadangan Pelan Pembangunan Masjid Zahir 2026. di sini. semalam.
Beliau menjelaskan, perancangan pembangunan yang dicadangkan akan dilaksanakan secara berhemah dan terancang dengan mengambil kira keperluan semasa tanpa menjejaskan nilai sejarah serta identiti Masjid Zahir yang menjadi kebanggaan rakyat Kedah.
Pemeliharaan warisan Islam dan seni bina masjid berkenaan, ujar beliau, akan terus menjadi keutamaan agar fungsinya sebagai pusat ibadah, dakwah dan kemasyarakatan dapat diperkasa di samping memastikan Masjid Zahir kekal berdaya saing dan relevan untuk generasi masa hadapan.
“Usaha ini dilihat selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengekalkan khazanah warisan Islam sambil menyesuaikannya dengan tuntutan dan keperluan masyarakat masa kini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/1/2026




















