
SELEPAS kegagalan usaha menjatuhkan kerajaan Iran melalui demonstrasi, kerana sokongan padu rakyat Iran yang mempertahankan kedaulatan negara mereka, kini muncul pula gelombang baharu berbentuk serangan persepsi.
Pelbagai tulisan dan dakwaan disebarkan bagi memburukkan kredibiliti tokoh-tokoh yang menentang hegemoni Amerika dan sekutunya.
Apabila jalan menjatuhkan tidak berjaya, maka strategi memburukkan tokoh pula digunakan. Inilah kaedah lama dalam politik kotor.
Taktik kotor: ‘Character Assassination’
Apabila seseorang ingin dijatuhkan, pelbagai cerita yang kelihatan seolah-olah munasabah akan direka supaya orang ramai mudah mempercayainya.
Inilah yang dinamakan sebagai pembunuhan karakter. Ya, benar bahawa manusia tidak maksum dan tidak terlepas daripada dosa.
Namun memfitnah, mereka-reka perkara yang tidak benar dan mengadu domba adalah taktik keji yang tidak boleh diterima dalam mana-mana neraca akhlak.
Manipulasi dan pembohongan fakta sejarah
Antara contoh yang sering diulang ialah dakwaan bahawa Ayatollah Ali Khamenei pernah mencium tangan Permaisuri Iran, Farah Pahlavi.
Gambar lama (dikatakan tahun 1974) disebarkan dengan naratif bahawa beliau tunduk mencium tangan permaisuri, lalu disimpulkan bahawa beliau melanggar hukum Islam dan bersubahat dengan rejim Shah.
Namun, apabila fakta sejarah diperiksa dengan teliti, dakwaan ini ternyata bermasalah. Pada tahun-tahun yang didakwa tersebut, Ayatollah Ali Khamenei sebenarnya berada dalam tahanan.
Pada September 1971, beliau ditangkap oleh Savak dan dipenjarakan secara bersendirian. Pada tahun 1974 pula, beliau sekali lagi ditahan di Mashhad kerana ucapan-ucapannya yang menyokong Ayatollah Khomeini, sebelum dibawa ke Tehran.
Maka dakwaan bahawa beliau hadir dalam majlis istana pada waktu itu jelas bercanggah dengan rekod sejarah.
Tiba-tiba, terpaling jaga hukum Islam
Apabila disemak pula sumber asal naratif ini, ia berpunca daripada tulisan Hussain Abdul-Hussain, seorang penyelidik di Foundation for Defense of Democracies.
Institusi ini berpusat di Washington dan secara terbuka menyatakan misinya untuk memperkukuh keselamatan nasional Amerika Syarikat serta melemahkan musuh-musuhnya.
Maka tidak sukar untuk memahami kecenderungan politik dan ideologi di sebalik naratif yang disebarkan. Ada udang di sebalik mee!
Bukan pelanduk dua serupa
Strategi ini mengingatkan saya kepada fitnah lama yang pernah dilemparkan terhadap Imam Hasan al-Banna. Tersebar dakwaan kononnya beliau mencium tangan Raja Abdulaziz al-Saud.
Hakikatnya, individu dalam gambar tersebut ialah Dr Salim Bey Hindawi, seorang pakar oftalmologi dari Mesir yang memiliki rupa paras mirip Imam Hasan. Gambar beliau bersama Jalal Bey Abu al-Su‘ud telah dimanipulasi dan disalah tafsir.
Secara sejarah, Imam Hasan al-Banna hanya bertemu Raja Abdulaziz pada November 1945 ketika musim haji. Pertemuan tersebut berbentuk jamuan rasmi.
Imam Hasan hadir dengan pakaian ihram atau pakaian putih sederhana, sebagaimana jelas dalam semua gambar haji beliau pada tahun tersebut.
Tidak pernah direkodkan sebarang peristiwa mencium tangan seperti yang didakwa.
Tidak maksum, namun fitnah bukan jawapannya
Tuntasnya, setiap dakwaan yang bertujuan memburukkan tokoh-tokoh pejuang Islam wajib disiasat dengan teliti.
Mereka bukan manusia maksum, tetapi kelemahan peribadi tidak menghalalkan kita mengulangi propaganda musuh. Apatah lagi ia adalah fitnah!
Musuh Islam sering kali tidak beretika dan tidak bermoral, namun itu tidak pula bermaksud kita menutup mata terhadap kesalahan pemimpin Islam sendiri.
Keadilan tetap menjadi prinsip kita.
Fiqh Awlawiyyat: Hadapi musuh sebenar
Umat Islam tidak naif. Kita mampu membezakan antara permata dan kaca. Pada saat genting seperti ini, perpaduan umat lebih utama daripada menari mengikut irama musuh. Lebih-lebih lagi yang jelas menguntungkan kehendak Amerika dan sekutunya.
Jika Iran dilabel dengan pelbagai tuduhan seperti taqiyyah, maka negara-negara Arab yang menjalin kerjasama terang-terangan dengan rejim Zionis pula wajar dilabel munafik. Keadilan menuntut kita untuk menilai secara adil dan konsisten.
Saya tertarik dengan tulisan Sheikh Dr Mahmud Said Mamduh yang amat tepat dalam menggambarkan situasi kini:
والإختلاف لا يعني الإسقاط والخيانة ، ومحو الشريعة والسير في سبيل أعداء الدين.
“Perbezaan pandangan tidak bermakna untuk menjatuhkan, mengkhianati agama, menghapuskan syariat, atau mengikuti jalan musuh-musuh Islam.”
Kita berdoa semoga Allah melindungi umat ini, memberi kemenangan kepada kebenaran, dan mencukupkan kita dengan pertolongan-Nya. Allah sebaik-baik Pelindung dan Penolong.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 14/1/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.












