
BESUT: “Arwah sempat beri RM21 kepada adik bongsunya sebelum naik bas,” demikian luahan Izwan Iskandar Che Sopian, 27, sepupu kepada penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakhrul Arif Rosdi, 20.
Fakhrul, antara 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, Gerik, Perak, awal pagi semalam.
Menurut Izwan, tindakan arwah memberi wang tersebut menimbulkan kehairanan adiknya, Nurul Effa Shahira Rosdi, 16, namun tidak disangka itulah pemberian terakhir sebelum tragedi meragut nyawa.
“Adik arwah pelik dengan tindakan arwah, tetapi ia tidak menyangka itu adalah pemberian terakhir buatnya, dan dirinya lebih terkilan apabila duit tersebut tercicir,” memetik laporan Terengganu Darul Iman (TRDI).
Menurut Izwan, arwah kelihatan berbeza ketika menghadiri majlis kenduri di rumah ibu saudara mereka di Bukit Yong, Kelantan.
“Saya lihat perubahan ketara apabila arwah banyak termenung dan kurang bercakap ketika berjumpa dengan saudara mara di kenduri di rumah ibu saudara kami di Kelantan,” ujarnya.
Sementara itu katanya, berita sedih itu hanya diketahui sekitar jam 4 pagi selepas kakak mangsa melihat laporan kemalangan tular di media sosial.
“Kami segera hubungi pihak hospital untuk pengesahan dan pada jam 7:30 pagi, kami dimaklumkan secara rasmi arwah memang antara mangsa yang terkorban,” katanya.
Difahamkan, empat ahli keluarga termasuk ibu bapa arwah bergegas ke Gerik pada pagi yang sama untuk menguruskan jenazah.
Fakhrul Arif, anak ketiga daripada lima beradik, sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Perakaunan di UPSI. – HARAKAHDAILY 10/6/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!