
KOTA BHARU: Ukraine, Jepun dan Korea Selatan antara negara yang pertama kali menyertai Pesta Wau Antarabangsa Kelantan tahun ini.
Selain itu, 11 negara lain turut mengesahkan penyertaan termasuk China, Thailand, Singapura, Australia dan Indonesia.
Datuk Kamarudin Md Nor berkata, Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025 akan berlangsung pada 22 hingga 24 Mei di Pantai Irama, Bachok.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri itu berkata, lokasi baharu itu menggantikan Pantai Geting, Tumpat yang kini sedang dalam proses penambahbaikan.
“Pesta Wau Antarabangsa Kelantan lazimnya dianjurkan di Pantai Geting, namun untuk tahun ini, kita beralih ke Pantai Irama, Bachok kerana Pantai Geting sedang dalam proses penambahbaikan,” katanya.
Perkara itu dimaklumkan kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau berkata, penyertaan turut melibatkan peserta dari negeri-negeri seluruh Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Kelantan, khususnya peminat seni permainan tradisional, hadir memeriahkan acara tahunan berprestij itu.
“Pesta ini bukan sahaja memperkenalkan budaya kita ke peringkat antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan industri pelancongan warisan di Kelantan,” tambah beliau.
Sebagai tarikan tambahan, pertandingan Wau Bercahaya akan diadakan pada malam Jumaat, 23 Mei, bermula pukul 9:00 malam.
Pelbagai persembahan akan turut memeriahkan suasana sepanjang tiga hari penganjuran, antaranya dikir barat, pertunjukan permainan api dan acara kebudayaan lain. – HARAKAHDAILY 22/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!