Simbol ketegasan, usaha pendidikan dan pencegahan

Papan tanda larangan homoseksual

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ameerah Negeri Terengganu menyokong sepenuhnya inisiatif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam memasang papan tanda larangan perbuatan homoseksual di lokasi-lokasi tumpuan awam sekitar bandar raya ini.

- Advertisement -

Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Asma Abdullah berkata, langkah tersebut merupakan tindakan berani yang selari dengan dasar pentadbiran negeri berteraskan ajaran Islam serta prinsip Maqasid Syariah dengan tema ‘Indahnya Hidup Bersyariat’.

“Ia juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membendung gejala sosial yang bertentangan dengan fitrah manusia dan hukum agama. Pemasangan papan tanda ini bukan sekadar simbol ketegasan, tetapi juga usaha pendidikan dan pencegahan.

“Khususnya dalam mendidik masyarakat, terutamanya generasi muda, agar tidak terpengaruh dengan budaya luar yang menyimpang daripada ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, aktivis transgender, Nisha Ayub, mengecam kewujudan papan tanda tersebut sekali gus menyifatkannya sebagai satu bentuk hasutan kebencian yang berbahaya dan contoh jelas diskriminasi institusi.

Nisha berkata, papan tanda seperti itu bukan sahaja menyemai kebencian terhadap golongan minoriti, malah secara tidak langsung menggalakkan perbuatan buli yang boleh membawa kepada keganasan.

Menurut Asma, penolakan terhadap amalan homoseksual bukan bermaksud menindas mana-mana pihak, sebaliknya adalah sebahagian daripada tanggungjawab agama untuk menjaga maruah masyarakat dan membina suasana yang diredai Allah SWT.

“Kami menyeru semua pihak iaitu ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat, dan anak muda agar bersama-sama menolak normalisasi budaya songsang dan kembali memperkukuh nilai serta prinsip Islam dalam kehidupan seharian.

“Pertahan agama, pelihara maruah, dan bentuk generasi yang teguh dengan akidah Islam,” serunya.

Beliau berkata, Ameerah Terengganu akan terus mendukung sebarang usaha memperjuangkan prinsip Amar Ma’ruf Nahi Munkar sebagai langkah membentuk masyarakat yang lebih berakhlak dan diberkati. – HARAKAHDAILY 13/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -