
KOTA BHARU: Pengumuman rasmi bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan berganding bahu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai satu tamparan kepada aspirasi rakyat negeri itu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan tersebut memberi isyarat jelas bahawa parti yang menguasai Kerajaan Pusat kini mahu menguasai Sabah sepenuhnya.
“Dalam gagasan Muafakat Nasional dulu kita berpandangan agar Sabah dan Sarawak harus ada payung mereka sendiri. Justeru kemunculan GPS dan GRS harus kita sokong, bukan kita tentang atau kita ketepikan mereka.
“Rakyat Sabah dan Sarawak mampu mencorakkan pentadbiran mereka sendiri dan kita semua harus menyokong,” kata bekas Setiausaha Agung Umno itu yang kini Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Beliau turut menyarankan agar Perikatan Nasional mempertimbangkan untuk menyokong GRS dalam PRN akan datang.
“Secara peribadi dan dari sudut pandang MN, saya harap Perikatan Nasional mempertimbangkan untuk menyokong GRS. Hatta jika perlu, mengkaji opsyen bertanding di bawah GRS atau berkecuali bagi PRN Sabah kali ini.
“Lagi pun GRS itu dulunya Perikatan Nasional juga,” katanya lagi yang merupakan bekas Ketua Umno Bahagian Keterah itu dan kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.
Beliau menegaskan kenyataan tersebut hanyalah lontaran pandangan peribadi dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan muktamad. – HARAKAHDAILY 13/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!