Ramai kecewa Adam Adli tak tunai janji lepas dapat kuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Janji manis untuk memansuhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang pernah dilaungkan ketika kempen pilihan raya kini kembali dipersoal rakyat.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily melalui platform Facebook, mendapati rata-rata pengguna terutama graduan meluahkan kekecewaan terhadap pemimpin yang disifatkan tidak menunaikan janji setelah mendapat kuasa.

Mereka menyifatkan kegagalan memenuhi manifesto tersebut sebagai bentuk pengkhianatan amanah dan bukti sikap hipokrit dalam perjuangan politik.

Antara lantang menyuarakan kekecewaan ialah Zulkiflee Ismail, yang menyifatkan perjuangan menuntut pemansuhan PTPTN dahulu hanyalah sekadar alat meraih sokongan.

“Perjuangan politik yang tidak ikhlas itu. Dulu guna isu PTPTN sambil guling atas jalan untuk meraih nama dan undi parti. Bila dah berkuasa, abaikan isu perjuangan terdahulu dan tak tepati.

“Tahukah anda janji itu sebahagian amanah? Jika janji tak ditepati, adalah golongan hipokrit,” bidasnya.

Selain itu pengguna, Sharifah Alizan Syed Ali pula mengecam tindakan pemimpin tertentu yang mengubah naratif selepas memegang tampuk pemerintahan.

“Dulu sampai guling-guling, tolak kereta polis nak suruh hapuskan PTPTN. Isteri Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kata kerajaan banyak duit boleh bagi pendidikan percuma.

“Hasut rakyat, anak-anak muda yang malas percaya semua fitnah mereka. Bila dah pegang kerajaan, tiba-tiba kata ‘dah hutang kenalah bayar’, ‘kerajaan mana ada duit, Najib buat hutang sampai RM1 trilion’.

“Rupanya mereka yang bawa hutang jadi lebih RM1 trilion. Jangan percaya dengan timbalan menteri tak berfungsi ini. Kalaulah Pilihan Raya Umum (PRU) masih ada yang pangkah, memang betul-betul otak kosong,” selarnya.

Begitu juga Fidzal Dahalan pula meluahkan rasa kesal terhadap pemimpin muda yang dikatakan gagal menunaikan janji kepada golongan belia.

“Hoi anak muda, seronok tak kena tipu oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang kau puja-puja dan sokong ini? Nak hapuskan PTPTN dengan Nurul Izzah Anwar kau tu konon.

“Sekarang Izzah nak jadi timbalan presiden dalam PKR serta nak memonopoli wanita pula. Baguslah yang Hoi Hoi Ya Hoi pun jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan samalah lepas ini boleh buat lagu Hoi Hoi Panglima Ketimbang pula.

“Betullah Mohd Rafizi Ramli kata, yang kita ini hanya memfitnah untuk politik. Hoi Hoi Ya Hoi. Lu P, K, R sendiri demi tembolok kau orang, kau sanggup menipu anak muda terutama anak Melayu sendiri,” katanya dengan sinis.

Sementara itu, Bakhtiar Alias memberi peringatan bahawa kuasa bukan lesen untuk melupakan perjuangan asal.

“Hidup dah senang, dah jadi menteri, lupa segalanya seperti kacang lupakan kulit. Kita jumpa di akhirat nanti nak tuntut janji,” katanya ringkas namun padat.

Terdahulu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim pernah memperjuangkan pemansuhan bayaran balik pinjaman PTPTN semasa beliau aktif sebagai aktivis pelajar dan bersama sekumpulan pelajar mendirikan khemah di Dataran Merdeka sebagai protes, menuntut pendidikan tinggi percuma untuk semua rakyat Malaysia pada April 2012.

Kempen ini mendapat sokongan kuat daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya gabungan itu.

Namun, setelah menyertai kerajaan dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menyatakan bahawa pemansuhan hutang PTPTN sukar dilaksanakan kerana memerlukan komitmen besar dan perancangan teliti, serta mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan percuma adalah cita-cita bersama, tetapi pelaksanaannya bukan sekadar iltizam politik semata-mata.

Perubahan pendirian ini telah menimbulkan kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk bekas rakan aktivis dan mahasiswa yang menuntut agar beliau menunaikan janji-janji terdahulu dan tidak menjadikan isu ini sebagai modal politik semata-mata. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -