Projek MyKiosk bazir wang rakyat – Dr Ronald Kiandee

Dr Ronald
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempersoalkan projek MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang disifatkannya sebagai satu pembaziran dana rakyat serta tidak dirancang dengan baik.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut mempersoalkan matlamat sebenar projek bernilai RM150 juta itu, sama ada benar-benar untuk membantu peniaga kecil atau sekadar menguntungkan kontraktor kroni.

“Kini jadi ‘eyesore’ (menyakitkan mata) hingga ke luar bandar. Di Parlimen Beluran (pekan Beluran, Telupid dan Sugut) pun ada. Kiosk ini dah berbulan berhujan dan berpanas. Dibiarkan sedemikian tanpa penghuni.

“Majlis Daerah nampak buntu nak letak mana. Kawasan berlumpur dan berbanjir kilat pun terpaksa letak kerana banyak sangat bilangannya. Projek guna wang rakyat sebegini banyak seharusnya dimanfaatkan rakyat.

“KPKT perlu jelaskan. Konon dah keluar arahan kesemua 7,000 kiosk ini perlu di isi. Isi dengan apa tu? Apa jadi dengan kerajaan Madani ni? ‘Macam pandai’ orang Sabah bilang!” katanya menerusi satu kenyataan.

Inisiatif MyKiosk yang dilancarkan pada 2023 itu mula mendapat kritikan ramai apabila ia dilihat gagal mencapai matlamatnya, selepas ribuan kiosk disediakan kini terbiar kosong, usang dan tanpa sebarang aktiviti ekonomi.

Ia turut dikritik selepas kos pembinaan kiosk kecil itu dikatakan mencecah sekitar RM20,000 hingga RM35,000 seunit.

Sedangkan rata-rata peniaga mengatakan kiosk itu sempit, mudah dimasuki air hujan serta berada di lokasi yang tidak strategik. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -