
KOTA BHARU: Dato’ Sri Amar D’Raja (Dr) Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi PAS khususnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden wajar terus diamanahkan kepada tokoh berpendidikan agama.
Naib Presiden PAS itu berpandangan bahawa ia bagi memastikan kelangsungan perjuangan Islam dalam parti, ujarnya ketika menjadi panel dalam program bual bicara Sisi Pandang yang berlangsung di sini semalam.
Menurut beliau, proses pemilihan kepimpinan sedang berlangsung kini sangat signifikan kerana ia akan mencorak masa depan parti dalam fasa kekuatan politik yang belum pernah dicapai sebelum ini.
“Kita sedang mendaki dan hampir sampai ke puncak. Dengan 43 kerusi Parlimen, lebih 100 kerusi DUN serta menguasai empat negeri, sebarang perubahan dalam kepimpinan akan memberi kesan besar terhadap masa depan parti,” ujar beliau.
Mohd Amar turut menyeru para perwakilan agar membuat pilihan yang bijak demi kesinambungan gerakan Islam yang menjadi tunjang PAS sejak awal penubuhannya.
Menurutnya lagi, PAS sebagai sebuah parti Islam memerlukan barisan kepimpinan yang mempunyai kefahaman mendalam terhadap ilmu agama.
Khususnya kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, dalam bidang fiqh, usul fiqh, qawaid fiqh dan siyasah syar’iyyah bagi membolehkan keputusan dibuat secara syarie dan segera.
“Presiden dan Timbalan Presiden mestilah individu yang mampu membuat keputusan tepat dan segera berasaskan prinsip syariah.
Tak boleh tunggu Majlis Syura semata-mata dalam isu-isu mendesak,” jelasnya lagi.
Beliau turut menggunakan analogi dunia korporat bagi menggambarkan keperluan kepakaran dalam kepimpinan parti.
“Kalau CEO syarikat perlu mahir dalam perniagaan, maka Presiden parti Islam mestilah mahir dalam ilmu agama. Ini penting untuk pimpin gerakan Islam dengan betul,” katanya.
Mohd Amar turut menegaskan bahawa kenyataannya itu tidak bermaksud menolak peranan ahli parti yang bukan berlatarbelakangkan pendidikan agama.
Sebaliknya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, setiap individu mempunyai peranan masing-masing dalam struktur organisasi parti.
“Sejak dahulu saya konsisten dengan pendirian ini. Kepimpinan ulama penting untuk pastikan PAS terus berada atas landasan Islam.
“Lihat Tok Guru Nik Aziz, walaupun tidak berpengalaman mentadbir, beliau membawa perubahan besar di Kelantan selama lebih dua dekad,” tambah beliau.
Beliau turut menyifatkan kejayaan PAS hari ini termasuk kemenangan 43 kerusi Parlimen sebagai hasil kepimpinan ulama, khususnya Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 22/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!