PMX Anwar didakwa salur dana tidak isytihar

PAS desak penjelasan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa tampil memberi penjelasan berhubung satu rakaman video tular memaparkan pengakuan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng mengenai penerimaan dana tidak diisytihar yang didakwa disalurkan sendiri oleh Perdana Menteri.

- Advertisement -

Chen Heng secara terbuka menyatakan bahawa beliau menerima wang daripada Perdana Menteri untuk kegunaan parti, namun tidak diaudit atau dimasukkan ke dalam akaun rasmi kerana ia adalah ‘duit kotor’ yang tidak boleh dikesan kembali melalui sistem perbankan.

Antara petikan transkrip dalam video itu berbunyi, “Saya tanya awak, macam mana Perdana Menteri sendiri pun tak nak audit? Awak ambil duit tu, guna untuk parti, tapi tak isytihar. Sebab saya tak nak ia dikesan semula ke bank. Perdana Menteri ambil duit daripada ‘Mr X’ (nama seseorang disebut)”.

Lai turut mendakwa, Perdana Menteri (PMX) memberi arahan agar dana tersebut digunakan secara senyap dan tidak dimasukkan ke dalam akaun bank bagi mengelak ia dikesan semula kepada sumber asal.

Pendedahan video berkenaan yang kini tersebar luas di media sosial mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan PKR, apatah lagi nama ahli perniagaan terkenal Malaysia turut disebut sebagai penyumbang dana kepada PMX.

Persoalan lebih serius ialah sama ada wujud unsur pengubahan wang haram, memandangkan penggunaan dana tanpa pengisytiharan dan pengelakan daripada sistem bank merupakan antara ciri utama pelanggaran Seksyen 4(1) Akta AMLA 2001.

Lebih membimbangkan, pendedahan itu datang dari pemimpin tertinggi cabang parti itu sendiri dan sehingga kini, tiada sebarang penafian langsung daripada Lai Chen Heng terhadap kandungan video tersebut.

Beliau hanya menempelak pihak yang menyebarkan video itu, tanpa menafikan bahawa beliau adalah individu dalam rakaman berkenaan.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak boleh berdiam diri dalam isu yang melibatkan kepercayaan rakyat dan integriti pentadbiran.

Menurut beliau, rakyat masih ingat bagaimana sebelum ini PMX sendiri pernah menuduh Perikatan Nasional menerima dana daripada tauke judi, namun kini pendedahan datang daripada dalam PKR sendiri bahawa dana haram disalurkan kepada Cabang PKR Wangsa Maju.

“PMX perlu segera beri penjelasan. Takkan bila diri sendiri terpalit, terus buat pekak. Ke sana sini ‘merata-rawa’ kononnya urus negara, tapi hal dalam kain sendiri buat-buat tak tahu,” katanya dalam satu kenyataan kepada HarakahDaily.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh agar tiada sesiapa pun, hatta Perdana Menteri, terlepas daripada pertanggungjawaban undang-undang.

Setakat laporan ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada PKR Pusat berhubung isu tersebut. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -