
ARAU: Seluruh rakyat Perlis serta para pengunjung yang pulang melalui jalan darat dari Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 dijemput memeriahkan acara gilang-gemilang Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau.
Program bakal diadakan di pekarangan Dataran Istiadat, Istana Arau jam 9 hingga 11 malam selama dua malam berturut-turut, iaitu pada Jumaat dan Sabtu, 23 dan 24 Mei ini.
Ia diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta meraikan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda.
Kali terakhir MKC dianjurkan adalah pada tahun 2019, sebelum terhenti akibat penularan pandemik Covid-19.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengundang kehadiran rakyat ke acara MKC berkenaan sejurus selamat tiba di Jeti Kuah, Langkawi bagi memenuhi undangan menghadiri Pameran LIMA 2025.
Keberangkatan baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri sulung mereka, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Keluarga Diraja ini disambut oleh Pengarah Cawangan Khidmat Sumber Manusia, Markas ATM, Laksamana Pertama Mohd Amin Mat Tahir dan Timbalan Panglima Latihan dan Doktrin TLDM, Laksamana Pertama Mohd Hasnan Mohd Hanafiah.
Turut menyambut keberangkatan ialah Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim.
Pegawai Seranta baginda, Muhamad Syafiq Mohd Zai memaklumkan, MKC 2025 bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif untuk seisi keluarga, termasuk pameran lampu-lampu hiasan serta persembahan gabungan elemen tradisional dan moden.
“Antara penyertaan pameran termasuklah dari Galeri Diraja Arau, Rejimen 504 Askar Wataniah, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Woodball Negeri Perlis, PTPTN, MyUS Venture dan KAB Gold,” jelasnya.
Selain itu, turut disediakan ruang bergambar eksklusif, tayangan video khas mengenai Duli-Duli Tuanku serta pertunjukan bunga api, bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Mengulas mengenai LIMA 2025 yang kini memasuki edisi ke-17 sebagai antara pameran maritim dan aeroangkasa tersohor di Asia Pasifik, Tuanku Syed Faizuddin menitahkan supaya rakyat Perlis khususnya di Kuala Perlis memanfaatkan peluang menerima kehadiran ribuan pengunjung.
Baginda menzahirkan harapan agar persekitaran di kawasan jeti dan laluan pengunjung sentiasa bersih dan selamat, termasuk penyediaan parkir yang teratur serta pemotongan rumput-rumput yang mengganggu pandangan.
Baginda juga menekankan pentingnya sikap mesra dan beradab dalam menyambut para pelancong, selain menyarankan agar pengusaha premis makanan menyediakan hidangan yang lazat dengan harga berpatutan serta perkhidmatan yang cekap.
“Supaya mereka akan mahu kerap kembali lagi ke negeri yang ‘Damai dan Menawan’ ini di lain masa nanti,” titah Tuanku. – HARAKAHDAILY 21/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!