PAS kehilangan mutiara berharga institusi pendidikan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemergian Cikgu Kamarul Halid Sakrani disifatkan sebagai satu kehilangan yang amat besar khususnya kepada sektor institusi pendidikan Islam di negeri Kedah.

- Advertisement -

Setiausaha Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Rakyat (HESA) Kedah, sejak 2008 ini merupakan salah seorang penggerak awal yang berjuang menubuhkan badan tersebut.

HESA sejak penubuhannya bermatlamat membantu serta meningkatkan kemajuan sekolah-sekolah agama rakyat di negeri ini

Hampir seluruh hidup Cikgu Kamarul dicurahkan kepada pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan pondok tanpa mengenal penat lelah.

Malah Almarhum sehingga akhir hayatnya masih memegang jawatan penting dalam institusi pendidikan, termasuk Pengetua Madrasah At-Taklimiah dan Guru Besar SRITI At-Taklimiah, Tok Keling.

Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Lembaga Rangkaian Pendidikan At-Taklimiah (RAPAT) dan pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha Majlis Muassasah Darul Ulum ketika ia dipengerusikan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya mengakui dan menyifatkan Cikgu Kamarul merupakan rakan rapat beliau sejak dahulu lagi.

“Kami amat rapat dan rakan yang sangat setia. Cikgu Kamarul ini, orang yang sangat kuat bekerja. Dia juga yang menyediakan kertas kerja penubuhan HESA.

“Saya Ketua PAS Cawangan Tok Keling, dia Setiausaha. Kalau dalam pendidikan di Kedah, di mana ada saya, di situ juga ada Cikgu Kamarul,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily di sini.

Mungkin sukar untuk mencari ganti insan yang secekal Cikgu Kamarul namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya dan dijemput mengadap Sang Penciptanya, pada jam 12:15 tengah hari di Hospital Pendang, semalam.

Pada awal Januari, Almarhum dimasukkan ke Hospital Pendang dan ditidurkan selama 20 hari akibat pelbagai komplikasi penyakit yang ditanggungnya termasuk jantung, kencing manis dan batu karang.

Selepas itu, beliau sentiasa berulang alik mendapatkan rawatan di hospital sehinggalah dimasukkan semula ke hospital dan menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Tok Keling, malam tadi.

Pelbagai pihak merakamkan takziah dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan dagangannya diterima Allah sebagai amalan soleh di sisi-Nya.

Al-Fatihah, semoga rohnya tenang di sana. – HARAKAHDAILY 11/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -