NGO rakan strategik agenda Kelantan Sejahtera 2033

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda Kelantan Sejahtera 2033.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, NGO merupakan pemangkin kepada perubahan sosial dan suara rakyat dalam pelbagai sektor pembangunan.

Menurut beliau, NGO memainkan peranan penting dalam kebajikan, pendidikan, belia, sukan, alam sekitar dan kesukarelawanan, malah menjadi penghubung dasar kerajaan dengan masyarakat akar umbi.

“Pendekatan ‘Whole of Society’ yang kita laksanakan memerlukan penyertaan aktif NGO agar pembangunan negeri menjadi lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya semasa merasmikan Konvensyen NGO Negeri Kelantan 2025 di H Elite Design Hotel, di sini.

Beliau berkata, konvensyen itu merupakan platform strategik untuk penyelarasan maklumat serta pemerkasaan peranan NGO agar lebih berkesan di peringkat negeri.

Katanya, kerajaan negeri juga menekankan kerjasama strategik dengan NGO melalui pelbagai dasar seperti Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK), Kelantan Future State 2033 dan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI).

“Matlamat kita ialah melahirkan masyarakat Qawiyul Amin; kuat dan berintegriti, dengan NGO sebagai agen pembinaan jatidiri rakyat,” ujarnya.

Zamakhshari turut menyentuh isu strategik Rizab Tanah Melayu yang perlu diberi perhatian serius oleh NGO.

Katanya, Kelantan direkodkan sebagai negeri tertinggi mempunyai Rizab Tanah Melayu iaitu 95.5 peratus, melibatkan keluasan 1.42 juta hektar sehingga Mei 2023.

“Ini bukti komitmen kerajaan negeri dalam mempertahan dan menambah keluasan tanah milik Melayu, berbeza dengan negeri-negeri lain yang tinggal bawah 30 peratus.

“NGO perlu menjadi penyampai maklumat dan pendidikan rakyat tentang hak tanah serta menjadi badan pemantau komuniti terhadap ancaman kapitalisme luar,” tegasnya.

Beliau juga mengumumkan beberapa inisiatif hala tuju NGO negeri menjelang 2033, termasuk pemerkasaan Konfederasi NGO Kelantan (KNK), geran berdasarkan impak komuniti, pemetaan NGO mengikut bidang dan kawasan, serta latihan kepimpinan.

“Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan dan NGO, kita mampu mencapai aspirasi Kelantan Sejahtera 2033. NGO bukan sahaja pelengkap dasar, tetapi pemangkin perpaduan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed, Naib Pengerusi KNK, Abdul Halim Wan Ismail dan pembentang jemputan, Kamaruzaman Mohamad. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -