
KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban serta sembilan lagi yang cedera dalam insiden kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari, beliau menyifatkan tragedi tersebut sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa komited menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
“PAS merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga lapan anggota yang terkorban serta tiga yang cedera parah dalam tragedi melibatkan lori FRU PDRM. Insiden ini adalah satu kehilangan besar buat negara,” ujarnya di laman sosial Facebook pagi ini.
Beliau turut menggesa agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyelaras bantuan menyeluruh kepada semua keluarga mangsa termasuk aspek kewangan, sokongan emosi, serta penghormatan sewajarnya kepada anggota yang terkorban.
Ahmad Fadhli menegaskan bahawa pengorbanan anggota keselamatan tersebut tidak harus dilupakan dan berharap agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta seluruh keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran.
Insiden menyayat hati ini mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang turut berkongsi rasa sedih dan simpati terhadap keluarga mangsa yang terlibat. – HARAKAHDAILY 13/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!