
KUBANG KERIAN: Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa PKR berpotensi menawan Kelantan sebagai sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat PKR tersebut mungkin bertujuan menyuntik semangat kepada akar umbi parti untuk terus bekerja keras, namun realiti politik di Kelantan jauh berbeza.
“PKR tiada satu pun kerusi yang dimenangi di Kelantan yang ada hanyalah satu kerusi daripada PAN dan satu lagi daripada Umno.
“Jadi kenyataan beliau untuk rampas Kelantan mungkin merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan, bukan PKR secara khusus,” katanya ketika ditemui di sini petang tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Wan Azizah yang mendakwa semangat dan komitmen anak muda dalam PKR mampu membawa kemenangan di negeri itu.
Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri turut mendakwa PKR mempunyai potensi untuk menawan Kelantan melalui semangat dan komitmen anak muda dalam parti tersebut.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, berdasarkan data semasa, anak muda di Kelantan masih teguh bersama Perikatan Nasional (PN) dan memberikan sokongan kuat kepada PAS.
“Alhamdulillah, anak muda masih bersama kita di Kelantan sebagaimana dalam PRU dan PRN yang lalu.
“Bagi kita, kenyataan itu sekadar motivasi dalaman untuk ahli mereka, bukan berdasarkan realiti politik semasa di negeri ini,” jelasnya.
Tambah beliau, kerjasama erat dalam kalangan parti komponen PN serta sokongan akar umbi terus menjadi kekuatan utama yang mengekalkan kestabilan politik Kelantan hingga ke hari ini. – HARAKAHDAILY 22/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!