
MASYARAKAT Melayu di Malaysia, Arab dan Barbar di Algeria, serta bangsa Bosnia menjadikan bangsa seiring dengan makna Islam. Begitu juga di Indonesia, kalangan kaum Acheh, Bugis, Banjar dan Minang.
Di Malaysia, menjadikan bangsa Melayu itu sinonim dengan Islam dan sebaliknya Islam itu Melayu, sama ada seseorang itu berbangsa Arab mahupun keturunannya Cina Muslim atau India Muslim. Kaum Acheh, Bugis Banjar dan Minang juga menjadikan erti bangsa satu perkataan yang sama dengan Islam, termasuk kabilah Pashtun di Pakistan dan keturunannya yang berada di Malaysia juga dianggap Melayu.
Begitu juga kaum Bumiputera yang Islam, termasuk kaum Jawa yang Islam, Batak yang Islam dan lain-lain semuanya dianggap Melayu. India yang asalnya Islam, dianggap menjadi Melayu; begitu juga Cina yang asalnya Islam, juga dianggap menjadi Melayu.
Apabila bangsa lain daripada kalangan bukan Islam menganut Islam, dianggap menjadi Melayu, sehingga dikatakan Cina, India dan lain-lain bangsa bukan Islam apabila masuk Islam dianggap masuk Melayu.
Di Algeria, yang menjadikan bangsa Arab dan kaum Barbar adalah Islam. Apabila kedua-dua bangsa itu murtad, maka mereka dianggap bukan Algeria sekalipun bangsanya Arab dan kaum Barbar. Ketika Algeria melaksanakan gerakan Ta‘arib (menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi), ketika itu Kerajaan Syria menghantar guru-guru Arab yang beragama Kristian ke sana, namun semua guru itu ditolak kerana dikira bukan Islam.
Di Bosnia pula, menetapkan kaum Bosnia semuanya Islam. Sesiapa daripada kalangan bangsa Bosnia yang murtad, maka dianggap bukan lagi mereka itu berbangsa Bosnia. Dalam Perang Bosnia, asalkan mereka itu bangsa Bosnia maka dijadikan mangsa pembunuhan kerana semuanya dianggap Islam.
Dalam syariat Islam, disebutkan uruf menjadi salah satu sumber hukum. Makna uruf ialah perkara yang menjadi ucapan atau amalan masyarakat umum yang tidak bercanggah dengan Islam. Sekali gus menolak sifat yang bercanggah dengan Islam seperti ‘asabiyyah, adat jahiliah dan lain-lain.
‘Asabiyyah ialah sifat taasub melampau terhadap kaum yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ.
“Bukan daripada kalangan kami, orang yang mengajak kepada ‘asabiyyah; bukan daripada kalangan kami, orang yang berjuang kerana ‘asabiyyah; dan bukan daripada kalangan kita, orang yang mati kerana semangat ‘asabiyyah.” [Riwayat Abu Dawud, Musnad Abi Dawud, Kitab al-Adab, No. 5121, daripada Jubair bin Mut‘im]
Seterusnya, Baginda ditanya oleh para sahabat:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا الْعَصَبِيَّةُ؟
“Wahai Rasulullah, apakah makna ‘asabiyyah itu?”
Maka, Baginda bersabda:
أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ.
“‘Asabiyyah itu ialah kamu membela kaum dan bangsa kamu walaupun dia berlaku zalim.” [Riwayat Abu Dawud, Musnad Abi Dawud, Kitab al-Adab, No. 5119, daripada Wathilah bin al-Asqa‘]
Semua amalan jahiliah berserta adatnya ditolak oleh Islam. Firman Allah SWT:
أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠
“Adakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [Surah al-Ma’idah: 50]
Firman Allah SWT:
وَقَرۡنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ وَأَقِمۡنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ …٣٣
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias serta bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta taatilah Allah dan Rasul-Nya…” [Surah al-Ahzab: 33]
Di sana pula terdapat tanda-tanda kemanisan iman dalam diri seseorang. Walaupun dirinya sayang kepada bangsanya sendiri, namun itu tidak menandakan sifat ‘asabiyyah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.
“Tiga perkara, sesiapa yang ada pada dirinya menandakan masih ada kemanisan iman dalam hatinya; (1) Allah dan Rasul paling dikasihi lebih daripada yang lain, (2) dia kasih kepada seseorang ikhlas kerana Allah, dan (3) benci kembali menjadi kufur (murtad) laksana tidak mahu dicampak ke dalam Neraka.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 16, daripada Anas bin Malik]
Dapat disaksikan ada kalangan yang jahil terhadap agama, bertindak menghina beberapa hukum Islam yang membatalkan Islam. Akan tetapi, mereka masih rajin beribadat dan masih mempunyai rasa persaudaraan Islam sekiranya ada dalam kalangan orang Islam yang menderita seperti di Palestin, Kashmir, Bosnia, Myanmar dan lain-lain. Melenting marahnya, kalau dia dihukum kafir atau dihukum murtad apabila melakukan perkara yang membatalkan Islam kerana kejahilan dirinya.
Malah, dapat disaksikan kemanisan Islam tersebut, walaupun fikirannya dijajah berzaman lamanya apabila mereka masih bersemangat Islam. Sekalipun ada juga yang tidak tahu mengerjakan solat dan pada masa yang sama juga mengerjakan perkara yang haram. Di negara bekas Komunis, ada yang tidak tahu bahawa babi dan arak itu adalah haram, apatah lagi mengetahui kewajipan solat. Walau bagaimanapun, masing-masing tetap mengaku Islam kerana bangsanya adalah Islam.
Kecintaan kepada bangsa adalah fitrah manusia yang bermula dengan silaturahim dalam kalangan keluarga. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١
“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menjadikan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]
Daripada hubungan kekeluargaan menjadi hubungan kemasyarakatan yang lebih besar kepada hubungan antara kabilah dan bangsa sehingga ke peringkat hubungan kemanusiaan. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’), dan Kami telah menjadikan kamu bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]
Dikatakan semangat kekeluargaan, kebangsaan dan kemanusiaan adalah fitrah atau tabii (sifat semula jadi manusia). Pada akhir zaman ini, kita menyaksikan ada manusia yang keluar daripada tabiinya. Hilang semangat kebangsaannya, sehingga melupakan bangsanya sendiri. Ada pula kumpulan LGBT dan lain-lain yang melupakan jantinanya.
Di sini, ada pula orang Melayu yang tidak suka membela Melayu yang dizalimi dan ditindas, sehinggakan bercakap berkenaannya pula dianggap bersifat perkauman dan cuba diadakan pula suatu akta atau undang-undang mengenai 3R. Walaupun nyata undang-undang tersebut bercanggah dengan ajaran al-Quran yang mewajibkan amar ma‘ruf dan nahi munkar serta memberi nasihat kepada semua. Bahkan, juga bertentangan dengan prinsip demokrasi.
Ada golongan yang membela binatang lebih daripada membela manusia, malah perbuatan membunuh anjing liar dan gila atau menembak babi hutan dan binatang berbahaya juga dianggap suatu kesalahan yang besar. Sehingga ada yang berjuang supaya dibatalkan hukuman mati terhadap manusia yang membunuh dan bertindak ganas.
Para rasul dan anbiya’ sayang akan bangsa masing-masing dan Allah meletakkan perjuangan mengislamkan bangsanya dahulu hendaklah diutamakan sebagaimana Nabi Musa AS, walaupun Baginda diutus bagi melawan Firaun. Firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [4] Dan sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang-benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. [5]” [Surah Ibrahim: 4-5]
Allah juga berfirman kepada Rasulullah SAW seruan yang sama, walaupun Baginda dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh dunia dalam kalangan manusia dan jin. Firman Allah SWT:
وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤
“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” [Surah al-Shu‘ara’: 214]
Namun, Allah meletakkan sempadan hendaklah tidak ada ‘asabiyyah terhadap kaum dan keluarga, manakala Islam pula wajib diutamakan. Firman Allah SWT:
لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتٍ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَـٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٢٢
“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang yang menanamkan iman dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya dan mereka dimasukkan oleh-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap-Nya (limpahan rahmat-Nya). Mereka itulah Hizbullah (golongan Allah). Ketahuilah, sesungguhnya itulah golongan yang mendapat beruntung.” [Surah al-Mujadalah: 22]
Firman Allah SWT:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]
Rasulullah SAW mendahulukan perpaduan bangsanya Arab, apabila hendak menegakkan negara Islam di Madinah yang terdiri daripada berbagai-bagai suku kabilah, kemudian dimasukkan juga kaum bukan Arab yang ada bersamanya. Konsep perpaduannya merangkumi semua kaum dan masyarakat majmuk, maka kemudiannya diikut serta oleh bukan Islam yang tidak ekstrem, dan ke seluruh dunia.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, dipilih para Khalifah (ketua negara). Dan selepas zaman Khulafa’ al-Rashidin pula dipilih pemimpin mengikut keturunan dan seterusnya berubah kepada konsep beraja atau sultan. Kedua-duanya berada di bawah perlembagaan dan dinaskan daripada al-Quran.
Contohnya, Nabi Daud AS ialah seorang Khalifah, manakala Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain pula merupakan raja daripada kalangan kaum yang mendominasi masyarakat Islam pada zaman yang sudah berubah kerana firman Allah SWT:
هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang kikir; dan siapa yang kikir, sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua Tuhan yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Allah menggilirkan pemerintah Islam kepada bangsa atau kaum yang paling kuat daripada kalangan penganut Islam. Daripada Arab kepada Kurdi dan Turki, rumpun Mogul di India dan rumpun Melayu di Asia Tenggara.
Malaysia pada zaman kini, bangsa Melayu adalah mendominasi masyarakat majmuk, maka pendekatan menegakkan negara acuan Rasulullah SAW yang dilaksanakan oleh Sunnah Baginda dalam siasah syar‘iyyah inilah hukum Mazhab Ahli Sunnah.
Adapun yang menetapkan ketua negara tanpa mengira bangsa ialah mazhab Khawarij, berdalilkan pandangan Ansar ketika wafatnya Rasulullah SAW yang ditolak oleh ijmak para sahabat dan tabiin.
Adapun mazhab Syiah berpendapat ketua negara hendaklah dilantik daripada kalangan Ahli al-Bait (keluarga Rasulullah SAW) dan beberapa orang para sahabat seperti Zubair bin al-‘Awwam, Talhah bin ‘Ubaidillah, Salman al-Farisi RA dan lain-lain mencalonkan ‘Ali RA yang juga ditolak. Dan Ahli al-Bait selepas itu membaiahkan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali RA.
Republik Islam Iran selepas Revolusi Islam yang dipimpin oleh Imam Khomeini RH telah melakukan tajdid dalam Mazhab Ja‘fariah Ithna Asyariyyah, apabila mengubah daripada konsep Wilayah al-Muntazar (zahir Imam al-Mahdi) kepada Wilayah al-Faqih (kepimpinan ulama’ mujtahid) di bawah perlembagaan, sementara menunggu kelahiran Imam al-Mahdi RH. Beliau mengambil pandangan Ahli Sunnah berkonsepkan al-Ahkam al-Sultaniyyah leh Imam al-Mawardi dan al-Ghiyathi oleh Imam al-Haramain, Ibn Khaldun dan lain-lain. Mensyaratkan kepimpinan ulama’ mujtahid secara fardi atau jama‘i yang berada di bawah Perlembagaan Islam.
Sikap Iran menghidupkan semula Majma‘ Taqrib antara semua mazhab Ahli Kiblat dan menyertai perjuangan Palestin menyokong Hamas serta Tanzim Jihad daripada kalangan Sunni yang memimpin dan menentang konsep normalisasi yang mengiktiraf Israel, adalah satu perubahan yang besar kepada perpaduan Islam yang menakutkan kuasa besar dunia.
Sehinggakan, keadaan itu telah mencetuskan Perang Teluk pada abad yang lalu, penyertaan negara Barat dan membawa agenda normalisasi yang mengiktiraf Israel dengan mempengaruhi negara-negara Islam dan negara-negara Arab yang membiarkan Gaza dan Palestin dibelasah dengan kejam.
Kemenangan Taufan al-Aqsa menjadi dalil peranan Islam dan juga bangsa sangat besar, serta menunjukkan kegagalan peranan kebangsaan Arab sekular yang meninggalkan peranan Islam.
Dalil al-Quran menunjukkan peranan bangsa adalah sebahagian dalil siasah syar‘iyyah dalam pemerintahan negara Islam yang istiqamah dan menolak Islam bidaah, Islam haddathah (moden) dan Islam sekular yang membawa perkataan bahasa asing seperti reformasi, progresif, liberal dan lain-lain yang tidak sama maknanya dalam bahasa Arab dengan istilah islah dan tajdid.
Antaranya, teori yang menghapuskan kewujudan bangsa dan kaum, berlawanan dengan tabii manusia yang telah ditetapkan oleh firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ … ١٣
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’), dan Kami telah menjadikan kamu bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal…” [Surah al-Hujurat: 13]
Firman Allah SWT:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
Maka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetap beristiqamah bersama Islam mengajak kepada perpaduan bangsa Melayu Islam dan kemanusiaan bukan Islam yang tidak ekstrem mengikut Sunnah Rasulullah SAW yang beramal dengan al-Quran dalam amalan politiknya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Zulqa‘dah 1446 / 12 Mei 2025
[Bil: 32 / 2025] – HARAKAHDAILY 12/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!