
KERAJAAN Negeri Perlis memilih pendekatan berhati-hati dan inklusif dalam menangani isu pembangunan di kawasan Gua Cenderawasih dengan menekankan kepentingan menilai aspek perundangan secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, satu mesyuarat khas melibatkan jabatan dan agensi berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu tersebut secara kolektif.
“Mengenai pembangunan di Gua Cenderawasih, kita akan duduk semeja dengan semua jabatan seperti Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Mineral dan Geosains, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kangar, hari ini.
Katanya, mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan untuk meneliti semula undang-undang dan peraturan berkaitan geopark secara menyeluruh agar keputusan yang diambil kelak mampu mengharmonikan kepentingan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.
Pendekatan berhemah dan bertanggungjawab
Pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri memperlihatkan kesungguhan untuk menjaga keseimbangan antara keperluan pembangunan ekonomi dan kepentingan menjaga khazanah warisan negeri.
“Dalam mesyuarat itu, kita akan meneliti semula undang-undang dan peraturan secara menyeluruh berkaitan geopark bagi mengharmonikan keadaan,” jelasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan dan akan mengutamakan kesan jangka panjang kepada negeri, khususnya berkaitan status geopark yang sedang dibangunkan.
Sedia tarik diri jika ganggu geopark
Menegaskan lagi komitmen kerajaan terhadap pemeliharaan alam sekitar, Mohd Shukri berkata bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya pembangunan yang dirancang terbukti membawa kesan buruk kepada status geopark Perlis.
“Sekiranya keputusan mesyuarat tersebut memberi kesan buruk kepada status geopark negeri, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik diri daripada projek pembangunan Gua Cenderawasih,” katanya lagi.
Buat masa ini, katanya, semua bentuk pembangunan di kawasan itu kekal ditangguhkan sehingga keputusan muktamad dicapai dalam mesyuarat khas berkenaan.
Tambah beliau, Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam, turut membincangkan langkah membaik pulih sebarang aktiviti yang telah menjejaskan geopark di negeri ini, termasuk di Gua Cenderawasih.
“Mesyuarat Exco malam semalam turut dibangkatkan mengenai usaha membaik pulih sebarang aktiviti yang menjejaskan geotapak negeri. Perkara itu juga akan dibawa dalam mesyuarat khas bersama beberapa agensi terlibat bagi tindakan susulan,” katanya.
Sebelum ini, Gua Cenderawasih mendapat perhatian ramai apabila terdapat contengan kata-kata kesat yang merosakkan nilai estetik dan sejarah kawasan tersebut, sehingga memaksa pihak berwajib mengecat semula kawasan terlibat sebagai langkah segera pemulihan.

Harmoni antara alam dan manusia
Langkah kerajaan negeri memperlihatkan komitmen kepada prinsip pembangunan berteraskan nilai bukan semata-mata mengejar keuntungan, tetapi menyantuni nilai warisan, kelestarian dan keharmonian alam dan manusia.
Pendekatan ini seiring dengan dasar kerajaan negeri yang sentiasa memberi keutamaan kepada prinsip syura dan konsultasi melibatkan semua pihak berkepentingan rakyat, agensi kerajaan dan para pakar sebelum membuat keputusan.
Dengan ketelusan yang dizahirkan oleh Menteri Besar, rakyat diyakinkan bahawa pembangunan tidak akan dijalankan secara membuta tuli, tetapi melalui jalan musyawarah, pertimbangan ilmiah dan rasa tanggungjawab terhadap generasi akan datang.
Aset warisan negeri yang perlu dipelihara
Gua Cenderawasih, yang terletak dalam rangkaian geotapak di bawah inisiatif Geopark Perlis, bukan sahaja membawa nilai saintifik dan pelancongan, tetapi juga menjadi simbol kekayaan bumi negeri yang harus dipertahan dan dipulihara.
Kerajaan negeri melalui langkah-langkah yang sedang diambil membuktikan bahawa pembangunan dan pemuliharaan tidak semestinya bersifat bertentangan, tetapi mampu bergerak seiring dengan syarat ia dirancang dengan teliti dan penuh tanggungjawab.
Rakyat Perlis menaruh harapan agar keputusan yang bakal diambil kelak akan menjadi contoh bagaimana pembangunan harus dilaksanakan bukan dengan kerakusan, tetapi dengan hikmah, sensitiviti dan kasih sayang kepada alam.
Kerajaan negeri telah menunjukkan teladan melalui komitmen untuk menilai segala aspek secara holistik, justeru semoga pendekatan ini dapat membuahkan hasil yang menguntungkan semua pihak rakyat, alam dan masa depan negeri yang dicintai ini. – HARAKAHDAILY 23/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!