Gali semula mayat yang dikuburkan

- Advertisement -

Soalan:

Setelah beberapa bulan mayat ditanam baru disedari tanah kubur mayat tersebut masuk di dalam tanah milik orang keluar sedikit daripada tanah perkuburan. Adakah boleh digali semula dan dipindahkan mayat tersebut ke tanah perkuburan yang sebenar?

- Advertisement -

Jawapan:

Bermula hukum menggali semula mayat yang telah ditanam adalah haram melainkan beberapa sebab yang mengharuskan digali semula.

Setengah dari sebab boleh digali semula mayat yang telah ditanam ialah mayat itu ditanam di dalam tanah orang dan jadi wajib menggalinya semula jika menuntut oleh tuan tanah tersebut.

Berkata Imam Nawawi:

ونبشه بعد دفنه للنقل وغيره حرام إلا لضرورة بأن دفن بلا غسل أو في أرض أو ثوب مغصوبين

Ertinya: “Dan menggalinya selepas ditanamnya bagi tujuan memindahkan atau tujuan lainnya adalah haram melainkan kerana darurah seperti ditanam tanpa dimandikan atau ditanam pada tanah atau kain kafan milik orang.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

(أَوْ) دُفِنَ (فِي أَرْضٍ أَوْ) فِي (ثَوْبٍ مَغْصُوبَيْنِ) وَطَالَبَ بِهِمَا مَالِكُهُمَا فَيَجِبُ النَّبْشُ، وَلَوْ تَغَيَّرَ الْمَيِّتُ وَإِنْ كَانَ فِيهِ هَتْكُ حُرْمَةِ الْمَيِّتِ لِيَصِلَ الْمُسْتَحِقُّ إلَى حَقِّهِ

Ertinya: “(Atau) telah ditanam akan mayat itu (pada tanah atau kain kafan milik orang) dan pemiliknya menuntut semula tanah dan kain tersebut maka wajib digali semula walaupun mayat telah berubah dan sekalipun pada menggalinya itu mencalarkan kehormatan mayat supaya pemiliknya mendapat semula akan haknya.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Berkata Syeikh Ad-Damiri:

والشرط في ذلك: أن يطالب بهما صاحبهما

Ertinya: “Dan disyaratkan pada yang demikian itu ialah pemiliknya menuntut akan haknya itu.” (Kitab An-Najm Al-Wahhaj)

Maksudnya apabila tuan tanah tidak suka mayat tersebut berada di dalam tanahnya maka wajiblah digali semula pindahkan mayat tersebut ke tempat yang sepatutnya.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 11/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -