Andalusia jalin MoU hampir RM250 juta dengan Saudia

Pengarah merangkap penasihat undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris (tiga dari kanan) bertukar dokumen dengan Pengurus Kanan Adinas Tours & Travel, Che Zakiah Ahmad pada majlis menandatangani MoU pembelian tiket Saudia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan Arab Saudi, Saudia, bagi menyediakan sebanyak 70,000 tempat duduk penerbangan umrah musim 1447 Hijrah (2025/2026M) yang bernilai RM248.5 juta.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung hari ini turut disaksikan oleh wakil-wakil syarikat pelancongan, institusi kewangan dan rakan-rakan strategik dari dalam dan luar negara.

- Advertisement -

Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, MoU ini bukan hanya bererti dari sudut komersial, bahkan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang menghantar jemaah umrah paling berdisiplin dan teratur ke Tanah Suci.

Ida Riswana Idris.

“Ia adalah simbol kepercayaan dan kerjasama jangka panjang yang Andalusia harapkan akan terus subur dan produktif,” ujar beliau dalam ucapannya.

Antara kelebihan utama menerusi kerjasama dengan Saudia ialah penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah, kemudahan kuota bagasi besar, ruang solat dalam pesawat, hidangan halal serta kru kabin terlatih yang memahami keperluan jemaah.

Menurut Ida Riswana, usaha ini turut menjamin kestabilan harga dan keutamaan laluan semasa musim puncak, selain memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan profesional Andalusia.

“Untuk musim 1446H, Andalusia berjaya menerbangkan hampir 21,000 jemaah menggunakan Saudia dan kami komited untuk meningkatkan lagi angka tersebut dengan kerjasama lebih 230 agensi pelancongan rakan niaga serta sokongan 521 kakitangan dan 1750 pegawai pemasaran Andalusia berdaftar di seluruh negara,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, kempen penjualan tiket Saudia akan digerakkan melalui pelbagai pakej dan promosi menarik selaras matlamat mencapai 80,000 jemaah dalam satu musim.

Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin (tengah) bergambar kenangan bersama kakitangan Andalusia serta Saudia yang hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.

Pada majlis itu Ida Riswana mewakili Andalusia manakala Saudia diwakili Pengurus Kanan Adinas Tours & Travel Sdn. Bhd. Che Zakiah Ahmad.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che Ngah, Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan Penolong Pengurus Operasi Adinas Tours & Travel, Zamri Zakaria serta wakil-wakil dari Saudia, institusi kewangan dan rakan strategik industri pelancongan Islamik tanah air.

Dalam pada itu, Md Daud menyambut baik kerjasama strategik tersebut di mana Saudia menawarkan beberapa keistimewaan kepada jemaah yang menggunakan penerbangan nasional Arab Saudi itu.

Katanya, antara keistimewaan itu termasuk ruang solat yang selesa dan peringatan kepada penumpang apabila masuk waktu solat terutamanya waktu solat Subuh. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -