
Soalan:
Apabila seseorang Islam menyebut perkataan yang mempersendakan agama atau memaki hamun salah satu dari hukum Islam atau dia telah menghalalkan suatu yang haram, maka jadilah dia murtad keluar dari agama Islam. Kalau selepas itu dia bertaubat dan dulu dia pernah menunaikan haji adakah wajib kena ulang semula pergi haji?
Jawapan:
Jika seorang Islam dalam keadaan bukan dipaksa telah melafazkan perkataan menghina agama Islam atau memaki hukum Islam maka keluarlah dia dari agama Islam dan dihukumkan dia sebagai kafir murtad dengak kesepakatan ulamak.
Majlis Fatwa Mesir telah mengeluarkan kenyataan:
اتفق الفقهاء على أن مَن سب ملة الإسلام أو دين المسلمين فإنه يكون كافرًا : دار الإفتاء المصرية
Ertinya: “Sekalian ulamak fiqah telah sepakat atas siapa yang telah mengutuk cara hidup Islam atau memaki agama orang-orang Islam maka sungguhnya dia adalah kafir.” (Majlis Fatwa Mesir)
Dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Palestin:
من سبَّ الله والملائكة و الدين فقد ارتد عن دين الإسلام إلى الكفر اتفاقاً
Ertinya: “Barangsiapa telah mengutuk Allah dan para malaikat dan agama Islam maka sungguhnya dia telah murtad dari agama Islam kepada kekafiran dengan sepakat ulamak.”
Apabila orang yang telah murtad itu kembali bertaubat, maka dia tidak wajib mengulangi segala amalan yang telah dia lakukan sebelum murtad.
Adapun amalan yang dia lakukan pada masa dia murtad seperti solat dan puasa dan haji dan lainnya itu maka wajib diulangi kerana tiada sah amalan orang yang murtad.
Oleh kerana itulah haji yang telah dia lakukan sebelum murtad tidak wajib diqadha menurut pendapat jumhur ulamak melainkan pendapat mazhab Hanafi.
Berkata Imam Ar-Rafie:
فمن حج ثم ارتد ثم عاد إلى الاسلام لم يلزمه الحج خلافا لابي حنيفة ومأخذ الخلاف ان الردة عنده محبطة للعمل وعندنا انما تحبطه بشرط أن يموت عليها قال الله تعالى (وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ)
Ertinya: “Maka barangsiapa yang telah haji kemudian dia murtad kemudian dia kembali kepada agama Islam nescaya tidak wajib atasnya lagi haji bersalahan bagi Abu Hanifah. Dan tempat khilaf bahawasanya murtad disisi Abu Hanifah membatalkan bagi amal. Dan di sisi kita hanya sungguhnya adalah murtad membatalkan amal itu ialah dengan syarat mati ia dalam keadaan murtad. Allah telah berfirman: Dan siapa yang murtad dari kalangan kamu dari agamanya lalu mati ia sedangkan dia kafir nescaya mereka itulah yang telah batal segala amalan mereka di dunia dan di akhirat.” (Kitab As-Syarh Al-Kabir)
Maksudnya jika haji itu dikerjakan ketika sebelum murtad kemudian bertaubat dan mati ia dalam agama Islam maka hajinya itu tidak batal dan jika mati ia dalam kekafiran maka batal hajinya itu sama ada dikerjakan sebelum murtad atau selepas murtad.
Berkata Imam Al-Juwaini:
وذكر بعض أصحابنا وجهاً آخر أن الردة لا تفسد الحج أصلاً، طالت مدتها، أو قصرت. ولكن لا يعتد بما يأتي به في زمن الردة
Ertinya: “Dan telah menyebut oleh sebahagian Ashab kami satu pendapat yang lain sungguhnya riddah itu tidak merosakkan haji sama sekali sama ada sudah lama masanya atau baru masanya akan tetapi haji yang dikerjakan dalam masa murtad itu tidak dikira.” (Kitab Hayatul Matlab Fi Dirayatil Mazhab)
Kesimpulan:
Siapa yang telah dengan sengaja mengucapkan perkataan memaki agama Islam atau mengutuk hukum Islam maka keluarlah dia dari agama Islam menjadi kafir dengan sepakat ulamak dan jika dia mati maka haram ditanam mayatnya di perkuburan orang Islam.
Jika dia telah menunaikan fardu haji sebelum murtad, kemudian dia murtad, kemudian kembali kepada agama Islam, maka tidak wajib atasnya mengulangi fardu haji.
Jika haji yang dia kerjakan itu selepas dia murtad dan sebelum dia bertaubat, maka haji itu wajib diulangi kerana amalan orang murtad adalah tidak sah.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 22/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!