ADUN Kijal berjaya genggam ‘Master’ di usia 59 tahun

Razali (tengah) bersama anaknya, Mohd Alinur dan Nur Aisyah pada hari graduasi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris, membuktikan umur bukan penghalang untuk menimba ilmu.

- Advertisement -

Beliau berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada usia 59 tahun.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal memulakan pengajian MBA secara sambilan di Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam pada tahun 2021, ketika masih bergelar Senator di Dewan Negara.

“Ketika itu, jadual amat padat dan penuh komitmen, namun dengan izin Allah SWT, segalanya dipermudahkan hingga berjaya menamatkan pengajian,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas mengenai cabaran Razali berkata, beliau terpaksa menangguhkan satu semester pengajian bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri pada 2023, di mana beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Kijal.

Beliau berkata, perjalanan akademiknya turut disertai dua orang anaknya, Mohd Alinur Haqqim, 36, dan Nur Aisyah Hanim, 34, yang bersama-sama mengikuti program pengajian tersebut.

Razali menitipkan pesanan kepada generasi muda agar tidak berputus asa dalam mengejar impian walaupun pernah tercicir pada peringkat awal.

“Sekiranya tercicir di peringkat awal tidak bermakna gagal selama-lamanya,” katanya.

Beliau berharap pencapaiannya itu juga dapat dimanfaatkan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri.

“Semoga pencapaian ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Segala yang baik datang dari-Nya, dan saya berdoa agar ilmu yang diperoleh ini memberi manfaat untuk semua,” katanya lagi.

Terdahulu, Razali memulakan pengajian tinggi dengan memperoleh Diploma Pengurusan Perniagaan dari Stamford College, Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 11/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -