25 individu terima darjah kebesaran Perlis

Sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis

Antara penerima yang dianugerahkan pingat dari Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (Foto: Istana Perlis)
- Advertisement -

ARAU: Seramai 25 individu telah menerima penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Perlis dalam Istiadat Penganugerahan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berlangsung di Istana Arau, hari ini.

- Advertisement -

Jumlah 25 penerima tersebut merupakan simbolik kepada Sambutan Jubli Perak bagi meraikan 25 tahun pemerintahan baginda yang disambut mulai 17 April 2025 hingga 16 April 2026.

Mendahului senarai penerima, Pengerusi ARKA Holding, Engku Maharaja Lela Setia Paduka Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail  Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, menerima Darjah Dato’ Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSSJ) yang membawa gelaran Dato’ Paduka.

Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ pula dianugerahkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Dr Arik Sanusi Yeop Johari.

Tiga individu menerima Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Dato’, iaitu Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.

Juga mantan Pengerusi Rejimen Renjer Diraja, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dato’ Dr Zaliman Sauli.

Sementara itu, Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang turut membawa gelaran Dato’ dikurniakan kepada tiga penerima iaitu mantan Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja, Mejar Jeneral Abd Wahab Geoh.

Juga Ketua Pengarah Pengurusan dan Latihan, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Mejar Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib dan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Zepri Saad.

Bagi Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP), enam individu menerimanya iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin serta Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Azlan Amran.

Juga  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UniMAP, Prof Ts Dr Mohd Mustafa Albakri Abdullah, serta Ketua Jabatan ENT, Hospital Tentera Tuanku Mizan, Brig Jen Dr Loh Sheau Torng.

Sembilan penerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) pula terdiri daripada Pengiring Rapat (ADC) kepada Tuanku Raja Perlis, Kolonel Hairil Razman Mohamad dan Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya, Ir Mohd Shahril Mohd Said.

Juga Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof Dr Basri Ibrahim dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PPTG) Negeri Perlis, Aizal Mazlan.

Termasuk Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Ts Dr Muhamad Shahbani Abu Bakar dan Pengarah Imigresen Negeri Perlis, Khairul Amin Talib serta Pengarah Bahagian Pencegahan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Mengakhiri senarai ialah dua penerima Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP), iaitu Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azmi Abdul Latip dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Raja Perlis, Shaiful Amri Ahmad Safian. – HARAKAHDAILY 17/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -