
KOTA BHARU: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan mengenang nasib ahli parlimen pembangkang yang menyambut hari lebaran tanpa menerima sebarang peruntukan.
Beliau berkata, kerajaan dan pembangkang masih belum mencapai kata putus berhubung perkara itu yang bermula setelah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022.
Ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) antara 2020 sehingga 2022, katanya Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang tidak kurang RM3 juta setahun.
“Namun bermula 2022 hingga sekarang, bukan kata juta, sen pun tidak diberi kepada ahli parlimen. Kita di Kelantan bernasib baik sedikit berbanding kawan-kawan (ahli parlimen) kita di negeri lain.
“Jadi bagaimana rakan kita di Melaka, dia (Melaka) ada enam orang ahli parlimen, tiga orang PN, 50 peratus ahli parlimen di Melaka adalah PN, lagi teruk Persekutuan tidak bagi peruntukan langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Mesra Aidilfitri Pemimpin Kerajaan Negeri Bersama Anak-Anak Kelantan di Perantauan di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar, Dato Panglima Perang Mohd Nasuruddin Daud; Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, isu rundingan peruntukan tidak menjadi halangan pembangkang untuk melaksanakan mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Wakil rakyat kita di Parlimen membawa mandat rakyat dengan baik, lebih-lebih lagi kita di Kelantan, banyak isu dan suara rakyat yang dibawa ke Parlimen untuk diselesaikan oleh kerajaan hari ini.
“Ada yang sudah berjaya, kita cuba main peranan di sana, dan ada yang masih lagi dalam urusan kita untuk kita mainkan peranan untuk membantu kerajaan negeri bawa mandat rakyat,” katanya. HARAKAHDAILY 2/4/2025











