
KUALA KEDAH: Program kebajikan sempena Ramadan terus bersemarak di Kedah dengan sumbangan serta majlis berbuka puasa bersama golongan asnaf dan kurang bernasib baik.
Bertempat di Masjid Sematang Gunung, Anak Bukit, seramai 100 penerima diraikan dengan pemberian Wakalah Zakat sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), kelmarin.
Penerima terpilih itu dari empat kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit iaitu Kampung Sematang Gunong, Kampung Padang Lalang, Kubang Siam, dan Sungai Baru.
Ia disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak.
Rashidi pada ucapannya berkata, pihak beliau merasa bertuah kerana PKNK memilih DUN Anak Bukit sebagai destinasi sumbangan Wakalah Zakat kali ini.
Apatah lagi katanya, bersempena dengan Ramadan dan Hari Raya yang bakal menjelma, sumbangan itu dapat membantu para penerima membuat persiapan.
“Program sebegini bukan sahaja membantu masyarakat setempat terutama dari golongan kurang bernasib baik, sebaliknya dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita,” kata beliau.
Dalam pada itu, para penerima juga diraikan berbuka puasa bersama para tetamu lain di masjid berkenaan.
Justeru, Rashidi mengharap program sebegini dapat diteruskan pada masa datang, sepertimana yang sering disebut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ‘Kedah tempat orang miskin bernaung dan orang kaya berbakti’.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi. – HARAKAHDAILY 13/3/2025




















