PAS Selangor anjur iftar bersama media disambut baik

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Negeri Selangor telah menganjurkan Majlis Iftar Bersama Media buat kali kedua di pekarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, di sini malam tadi.

- Advertisement -

Majlis yang dihadiri lebih 100 orang itu melibatkan pengamal media dan pempengaruh dalam usaha mempererat ukhuwah serta menghargai peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada petugas media termasuk wartawan, jurukamera, penyunting, penganalisis dan pempengaruh atas usaha menyebarkan maklumat secara bertanggungjawab.

“Peranan media amat penting dalam mendidik masyarakat yang bermaklumat, matang dan bebas daripada doktrin (kesedaran palsu).

“Saya sedar bahawa cabaran yang dihadapi oleh media pada hari ini semakin kompleks, lebih-lebih lagi dalam era digital dan ledakan maklumat di media sosial.

“Namun, saya yakin profesionalisme serta etika kewartawanan yang diamalkan oleh saudara dan saudari akan terus memastikan setiap berita itu disampaikan dengan cepat dan tepat,” katanya dalam ucapan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz dan ADUN Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin serta ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono.

Juga, Setiausaha PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad serta Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hasan.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia Ummah, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai dan Pengerusi Khidmat Gombak dan Isu Rakyat Gombak, Muhammad Iqman Iberahim serta bekas blogger OmakKau, Hanisya Abdul Hamid.

Halim Tamuri yang juga ADUN Paya Jaras, turut menekankan bahawa hubungan baik antara PAS dan media perlu terus diperkukuhkan, selain menegaskan media berperanan sebagai kumpulan semak dan imbang dalam membangunkan Selangor.

“Dalam dunia yang penuh dengan cabaran informasi palsu dan fitnah digital, kerjasama erat antara media, dan PAS dan Perikatan Nasional (PN) amat diperlukan untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang benar dan sahih,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar semangat keterbukaan dan kebersamaan khususnya melalui program yang baik seperti ini akan terus dipelihara oleh kita semua. – HARAKAHDAILY 13/3/2025

- Advertisement -