MB nasihatkan rakyat tangguh dahulu ke Thailand

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan negeri menasihatkan rakyat di negeri ini tidak berkunjung ke selatan Thailand dalam masa terdekat sehingga situasi benar-benar selamat susulan insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok, pada malam Sabtu lepas.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, langkah itu perlu diambil melainkan bagi mereka yang mempunyai perkara penting tidak dapat dielakkan.

Katanya, masyarakat Islam kini sedang menyambut bulan Ramadan selain bakal merayakan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, oleh itu amat wajar jika perkara itu dielak seketika bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Sebaiknya kita patuhilah nasihat pihak berkuasa sebagai mana disampaikan Ketua Polis Kelantan tempoh hari, yang menasihati rakyat Kelantan supaya tangguh dulu ke negara terbabit.

“Kalau tidak ada urusan penting elaklah dulu ke sana  buat sementara waktu,”katanya pada media selepas menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan & Penyerahan Dana Zakat Wakalah di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Tarbiah Diniah Meranti, di sini petang semalam.

Sempena majlis itu, EDOTCO Malaysia menyampaikan sumbangan komputer riba serta menaja projek baik pulih makmal komputer di SMU (A) Tarbiah Diniah dengan kos keseluruhan bernilai RM70,000 selain menyampaikan sumbangan kepada 50 asnaf pada majlis terbabit.

Menjawab soalan rakyat Kelantan ke sana untuk membeli makanan atau juadah berbuka puasa, beliau memberitahu banyak bazar, gerai makanan yang menjual makanan istimewa di negeri ini.

“Kita difahamkan ramai antara pengunjung ke pekan Sungai Golok untuk tujuan membeli juadah di bazar dan berbuka puasa. Namun begitu, di negeri kita juga terdapat banyak pilihan lokasi bazar Ramadan selain diyakini selamat,” katanya lagi.

Tambahnya, di negeri ini juga banyak kuih-muih serta makanan dan masakan Thailand, jadi adalah lebih baik membeli di sini sahaja kerana aspek keselamatan adalah lebih penting. – HARAKAHDAILY 13/3/2025

- Advertisement -