
ARTIKEL ini dicadang dibaca dan melihat semua gambar-gambar, supaya ia lebih sempurna dinikmati.
Rasanya semua orang yang berakal, rakyat Terengganu tahu bahawa pengurusan masjid di Terengganu adalah di bawah kuasa MAIDAM. Pernah ADUN PAS sendiri ditegur MAIDAM kerana disangkakan tauliahnya sudah tamat, dan masih berceramah di masjid. Tetapi MAIDAM terkhilaf kerana tauliahnya masih sah.
Tiada Exco Agama di Terengganu, yang ada hanyalah Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah. Exco sekarang dan sebelum ini, tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan mana-mana tauliah kepada mereka yang mahu mengajar di masjid-masjid, bahkan Exco sendiri terpaksa ‘beratur’ meminta tauliah dari MAIDAM. Sampai begitu sekali.
Ini jelas menunjukkan bahawa MAIDAM bukan salah satu lajnah atau cawangan PAS untuk diarahkan PAS berbuat sesuka hati. Jika dilihat kepada semua ahli lembaga pengarahnya, tiada seorangpun pimpinan atau ahli Parti PAS.
Sebenarnya tahun lepas, Dato’ Seri Zahid Hamidi sudah melaksanakan program di Masjid al-Ansar di Seberang Takir. Umno Seberang Takir cerdik kerana tidak mencanangkan dengan surat, sepertinya itu program Umno, tetapi program kementerian. Maka diluluskan oleh MAIDAM.
Berbanding Umno Hulu Terengganu yang agak kurang cerdas otaknya, menyebarkan surat, menyeru semua ahli-ahli Umno datang ke program bagaikan masjid itu bapak dia punya. Pegawai MAIDAM pula bukanlah dungu sebagaimana Umno Hulu. Dan ia pun dibatalkan kerana melihat ada ‘plot twist’.
PAS sudah puluhan tahun tidak pernah dibenarkan menggunakan masjid oleh MAIDAM, akan tetapi PAS tenang sahaja kerana ahli PAS sanggup keluarkan duit dari poket sendiri, membina masjid. Antaranya masjid yang dibina ialah Masjid al-Furqan Chendering dan Masjid Rhu Muda. Oleh itu jika Pemuda atau Muslimat PAS mahu melakukan program di situ tiada masalah.
Manakala ahli Umno, samada kedekut atau tidak percaya sesama sendiri bila mahu mengutip duit membina masjid (bab duit, Umno memang ada masalah kepercayaan), mereka tidak mahu mengeluarkan duit. Oleh itu bagi Umno, mereka merasakan yang semua masjid di Terengganu bawah MAIDAM adalah masjid mereka, kerana pimpinan mereka yang ‘bina’ dahulu. Nampak bezanya?
PAS melaksanakan program memberi bantuan di masjid-masjid, dan mereka tidak membuka meja pendaftaran ahli PAS. Mengambil contoh program Dato’ Seri Zahid Hamidi di Seberang Takir tahun lalu dan juga program Pemuda Umno di Masjid Cerang Cina, Marang tahun 2019 yang dihadiri Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi sebagai bandingan, isu berpolitik tidak timbul kerana menumpukan hanya kepada bantuan.
Kita tidak faham kenapa Umno Hulu Terengganu bertindak sebegini kerana semua orang tahu MAIDAM di bawah kuasa Tuanku Sultan Terengganu. Atau adakah cubaan Umno untuk kembali menderhaka semula kepada Sultan Terengganu selepas dilihat menjadi khadam setia yang aktif kepada DAP yang menjadi ‘taiko’ dalam PH, setelah dahulu Umno pernah menggelarkan Tuanku sebagai ‘nattang’?
Atau Umno cuba membantu mengalih isu bekas pembantu Teresa Kok yang dituduh rasuah oleh SPRM itu sebagai salah satu tugasan kekhadaman mereka kepada DAP? Ini kita harus perhatikan dan kaji. Mungkin mereka perlu melepaskan bekas pembantu Teresa itu sebagaimana Presiden mereka yang berjuang menegakkan kebenaran?
Aku menasihatkan Umno supaya mendengar pesanan oleh Setiausaha Eksekutif Majlis Ulamak Umno, Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri supaya tidak menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik. Jika nasihat ulamak dari Umno sendiri tidak mahu didengari, nasihat siapa lagi yang Umno mahu dengar? Nga Kor Meng?
Akan tetapi aku melihat sebenarnya ini adalah satu keinsafan Umno Terengganu kerana selepas peristiwa perobohan Masjid Bujal dan juga beberapa masjid lain yang roboh selepas pembinaan, Umno mahu mendekati masjid semula. Keinsafan Ramadan. Kalau begitu, bagaimana jika kita cadangkan untuk Dato’ Seri Zahid mengadakan program di Masjid Bujal? Paling kurang, boleh beri bantuan mana yang patut, kan?
Soalan: Dr Akmal Salleh buat apa di Surau Khatib Yahya, Marang tahun lepas?
MOHD NASIR ABDULLAH
8 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 8/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.































