Kalimah Allah: Kafir guna, untuk tipu orang Islam

Larangan salah guna perlu dikuatkuasakan

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kalimah Allah mempunyai makna besar serta pengertian menyeluruh dan ia juga tidak boleh diterjemahkan ke dalam bahasa lain dengan makna yang tepat. 

“Nama yang memberi makna yang besar dan merangkumi pengertian menyeluruh. Oleh itu, nama Allah disebut di dalamnya, di samping menunjukkan kalimah Allah itu sebenarnya ‘Lafzul Jalalah’, lafaz yang maha besar,” katanya. 

Tuan Guru menjelaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan dengan satu perkataan dalam bahasa lain kerana tidak ada istilah mampu membawa maksud yang tepat, ujarnya dalam kuliah Dhuha Jumaat, di Masjid Rusila, di sini hari ini. 

“Tak ada bahasa lain nak terjemah perkataan Allah, tak boleh. Allah makna Tuhan. Tuhan ni macam-macam, orang kafir lantik batu lantik ini. Allah ni tak ada tuhan lain. Nak terjemah apa? ‘God’? ‘Hudaya’ bahasa Parsi? Apa? Tak boleh, tak menepati. Tetap kalimah Allah,” jelasnya. 

Menurut Tuan Guru, walaupun perkataan Allah digunakan oleh semua bangsa di dunia, penggunaannya oleh orang kafir sering kali tidak menepati makna sebenar. 

“Cumanya, orang kafir berkata Allah juga. Bila kata Allah, sebutan dia salah. Tak menepati makna. Kita nak larang tak boleh, nak tutup mulut dia tak boleh. Tapi menyalahgunakan perkataan Allah, tak boleh,” tegasnya. 

Justeru, beliau menegaskan bahawa larangan terhadap penyalahgunaan kalimah Allah perlu dikuatkuasakan bagi mengelakkan kekeliruan dan penyelewengan akidah umat Islam. 

“Sebab itulah ada larangan, tak boleh sewenang-wenangnya guna perkataan Allah ini. Kalau orang kafir salah guna, kita kena lawanlah. Dia guna nak tipu, nak tipu orang Islam.

“Terjemah perkataan Tuhan dalam Bible, dalam Injil yang diubah-ubah kepada Allah. Tujuannya nak menyesatkan orang Islam, orang Melayu. Ingatkan Tuhan sama rupanya. Tuhan yang dilantik lain, ada tuhan lain pula. Itu salah,” katanya lagi. 

Tuan Guru turut menekankan bahawa perkataan Allah adalah lafaz yang tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa sekalipun dan perlu digunakan dengan betul. 

“Tapi nak larang orang kafir guna tak boleh nak tutup mulut dia. Nak buat macam mana? Dia sebut, salahlah. Dia sebut boleh dosa, kita sebut boleh pahala.

“Dia sebut boleh dosa sebab sebut menipu. Kita sebut Allah, Allah sungguh. Tak ada Tuhan yang lain,” terangnya. – HARAKAHDAILY 14/2/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -