
KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menggesa kerajaan meneliti semula struktur caj akses sistem (SAC) bagi grid nasional yang dikenakan ke atas pihak ketiga dalam pelaksanaan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).
Beliau berkata, caj semasa iaitu 25 sen per kilowatt-jam bagi keluaran firma dan 45 sen per kilowatt-jam bagi keluaran bukan firma telah menimbulkan kebimbangan terhadap daya saing skim tenaga boleh diperbaharui di negara ini.
“Adakah kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula struktur SAC mungkin dengan menawarkan harga berperingkat atau subsidi untuk mengeluarkan tenaga intermittent.
“Sekiranya SAC ini dapat direvisit (dikaji), saya yakin ianya akan menjadikan CRESS lebih menarik kepada pelbagai pemaju tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairil Nizam turut memuji inisiatif CRESS yang dilancarkan empat bulan lalu sebagai langkah selari dengan piawaian Pembangunan Mampan (SDG), kerangka Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Menurut beliau, CRESS merupakan platform penting bagi Malaysia untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih (net zero emission).
“Setelah empat bulan dilancarkan, antara cabaran yang dilalui oleh kerajaan dalam melaksanakan CRESS ini secara berkesan adalah caj akses sistem ataupun SAC iaitu yuran yang dikenakan ke atas pihak ketiga untuk menggunakan grid nasional di bawah mekanisme seperti CRESS,” katanya.
Beliau yakin penambahbaikan struktur caj grid nasional akan membantu Malaysia menjadi hab tenaga boleh diperbaharui yang lebih menarik kepada pelabur serta menyokong agenda negara dalam menangani isu perubahan iklim.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam jawapannya berkata, kerajaan telah mengadakan dialog dengan pihak industri dan mendapati bahawa tenaga boleh baharu (TBB) seperti solar mempunyai kos lebih tinggi kerana ketidakseimbangan bekalan, terutama pada waktu malam.
Menurutnya, untuk mengatasi masalah itu, pengguna boleh memilih untuk menggunakan bateri untuk menyimpan tenaga, yang akan menstabilkan bekalan dan memastikan sistem gred tidak terjejas.
Tambahnya, usaha itu bertujuan untuk memastikan keterjaminan bekalan, kemampanan, dan kemampuan bayar oleh pengguna, serta menarik pelaburan daripada industri yang berminat mendapatkan sijil ESG.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ir Ts Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan keberkesanan pelaksanaan CRESS sebagai akses pihak ketiga (third party access) bagi perolehan tenaga khususnya manfaat dari segi ekonomi. – HARAKAHDAILY 6/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!