Gerakan positif Kelantan usaha bendung kanser

Menyampaikan kit barangan dapur kepada salah seorang pesakit kanser
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 peringkat negeri Kelantan menjadi platform menyatukan masyarakat dalam usaha membendung penyakit kanser yang semakin meningkat.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Datuk Abdul Rahman Yunus berkata, tema tahun ini, ‘Bersatu Dengan Keunikan’, bertujuan memahami cabaran setiap individu dalam perjuangan melawan kanser.

“Kanser memerlukan rawatan rumit, dan pesakit sering mengalami pelbagai gejala fizikal serta emosi. Oleh itu, sokongan amat diperlukan bagi membantu mereka menguruskan penyakit ini,” katanya.

Program ini menekankan kesedaran masyarakat terhadap kanser selain menggalakkan pencegahan, pengesanan awal serta rawatan lebih efektif.

Pada sambutan kali ini, seramai 150 pesakit dari seluruh Kelantan diraikan melibatkan penghidap kanser payudara, usus, ovari/serviks, paru-paru dan darah.

“Merawat kanser sememangnya sukar, namun merawat emosi pesakit adalah cabaran besar bukan hanya kepada mereka tetapi juga keluarga,” tambahnya.

Sehubungan itu, program ini memberi keyakinan bahawa mereka tidak berseorangan dalam meneruskan kehidupan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Semoga ia memberi manfaat kepada 150 penerima serta keluarga mereka dan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -