Kemurungan: 13% remaja dilapor cenderung bunuh diri

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2022 mendedahkan peningkatan kadar kemurungan dalam kalangan remaja kepada 26.9 peratus berbanding 18 peratus beberapa tahun lalu.

- Advertisement -

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, lebih membimbangkan, 13 peratus daripada remaja tersebut dilaporkan mempunyai pemikiran untuk membunuh diri.

“Remaja kini semakin terdedah kepada kemurungan, berbeza dengan dahulu apabila mereka lebih banyak bermain dan aktif.

“Saya rasa kita perlu mengambil tindakan yang serius dan semua pihak, baik di pihak sini atau di sana, perlu memberi perhatian yang mendalam terhadap isu ini.

“Jadi saya cadangkan agar KBS merangka satu pelan strategik yang lebih terperinci dan jangka panjang. Walaupun kita sudah mempunyai Indeks Kesihatan Mental, ia lebih kepada pengumpulan data, dan kurang memberi fokus kepada tindakan yang konkrit,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, hari ini.

Afnan mencadangkan agar KBS merangka pelan strategik jangka panjang yang lebih terperinci dengan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan pakar dalam bidang kesihatan mental. 

“Mungkin boleh kolaborasi dengan kementerian-kementerian lain ataupun mana-mana pihak yang pakar perkara ini.

“Kita perlu beri perhatian sebab remaja hari ini mudah terpengaruh dengan media sosial dia tengok gaya hidup orang itu lebih daripada dia, dia kurang akan itu semua mendorong kepada kemurungan.

“Saya fikir ini perkara-perkara yang kita perlu beri perhatian kerana kalau mental kita tak okey macam mana jasad kita nak okey,” katanya.

Beliau berkata, selain daripada KBS menumpukan perhatian kepada aspek fizikal atlet sukan, mental juga menjadi satu isu serius yang perlu diberi perhatian – HARAKAHDAILY 27/11/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -