
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DMPM) membidas kritikan terhadap Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas beliau mengumumkan tiada peruntukan bonus untuk penjawat awam negeri itu dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Strategik DMPM, Nazrul Nazir berkata, punca sebenar isu tersebut berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam membayar royalti petroleum negeri berkenaan.
“Sejak Kerajaan Madani mengambil alih Kerajaan Persekutuan, royalti Petroleum Terengganu tidak dibayar dengan jumlah yang sepatutnya kepada kerajaan negeri.
“Meskipun royalti petroleum adalah hasil yang sepatutnya disalurkan secara langsung kepada negeri, dana tersebut kini dilabel sebagai ‘wang ihsan’ dan disalurkan melalui agensi pusat, seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Itupun masih lagi ada baki yang tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan dan menambah, MB Terengganu pada Jun lalu telah menyatakan sebanyak RM367.15 juta masih belum diterima.
Di mana petiknya dari maklumat MB Terengganu, berdasarkan anggaran secara keseluruhan wang royalti yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri pada 2023 dan tahun 2024 masing-masing sebanyak RM1.524 bilion.
“Namun begitu, sehingga kini, Kerajaan Negeri Terengganu hanya menerima sebanyak RM425.17 juta yang direkodkan sebagai wang ihsan daripada kerajaan Persekutuan.
“Hal ini menyebabkan projek untuk rakyat Terengganu terencat kerana sekatan royalti petroleum dan pengurangan bayaran tersebut .
“Jika dibandingkan dengan tahun 2021, pembayaran Kerajaan Persekutuan telah membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak RM1.287 bilion.
“MB Terengganu sendiri telah mengumumkan bonus penjawat awam dalam pembentangan belanjawan pada tahun tersebut sebanyak RM700 kepada 14,000 penjawat awam, termasuk kakitangan tetap dan kontrak,” ujarnya.
Justeru, beliau menggesa agar isu berkenaan tidak dijadikan sebagai mainan politik khususnya oleh penyokong PH-BN.
“Cytro PH-BN tidak perlulah menjadikan isu bonus penjawat awam ini sebagai mainan politik kerana akhirnya akan memakan diri sendiri dan menelanjangkan lagi tindakan zalim Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri Terengganu.
“Yang akhirnya akan memalukan pemimpin kamu sendiri yang telah menekan rakyat dan tidak menunaikan janjinya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!