Tabung Dana Pilihan Raya PAS Batu Pahat dilancar

- Advertisement -

BATU PAHAT: PAS Kawasan Batu Pahat telah melancarkan program Tabung Dana Pilihan Raya bagi mengumpul kewangan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.

- Advertisement -

Tabung-tabung fizikal tersebut akan diserahkan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS yang bersetuju untuk terlibat diletakkan di rumah masing-masing dan ianya akan dapat dikutip semula tiga bulan dari sekarang.

Majlis pelancaran program tersebut dilakukan serentak dengan Sambutan Maulidurrasul yang berlangsung di Kompleks PAS Batu Pahat, di sini, malam tadi disempurnakan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.

Ustaz Abdullah dalam ucapannya memuji inisiatif tersebut yang diilhamkan bersama oleh pihak Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) PAS Johor dan Jawatankuasa Pilihan Raya Parlimen (JPRP) PAS Batu Pahat.

“Jadi saya harap tuan-tuan dan puan-puan menyambut saranan ini untuk memastikan tabung-tabung ini dipenuhkan dengan ‘dinar’ dan ‘dirham’, ataupun ringgit dan siling.

“Dipenuhkan mengikut waktunya. Jangan sampai tiga bulan dipungut buat balik, kosong juga. Jadi tiga bulan pastikan penuh,” ujar beliau.

Menurut beliau, pihak PAS Johor dalam usaha untuk memastikan parti itu akan dapat bertanding di DUN-DUN sasaran termasuklah tiga DUN yang ada dalam Parlimen Batu Pahat.

“Kita dalam perundingan ‘give and take’ dengan rakan-rakan kita, kita kena tunjukkan kekuatan kita. Berapa banyak cawangan kita; banyak duit kita; berapa ramai jentera kita. Barulah boleh bersaing dalam perundingan,” katanya.

Jelasnya kekuatan yang berjaya dibentuk oleh jentera-jentera PAS tempatan sangat penting kerana ia akan dijadikan sandaran dalam rundingan kerusi dengan rakan komponen.

Kerana itu katanya, kekuatan harus dibina sama ada dalam bentuk dana yang dikumpul, jumlah cawangan yang ada atau jumlah ahli yang ramai.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa amilin PAS sentiasa dalam keadaan bersemangat walaupun diuji dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota baru-baru ini.

“Kita baru selesai PRK DUN Mahkota. Tetapi semangat tidak jatuh. Sebab kita bukan sekadar parti politik, juga parti tarbiah, kita juga parti dakwah, kita juga parti pendidikan, kita juga parti kebajikan. Jadi program berjalan terus,” ujarnya.

Malah katanya, walaupun menghadapi kekalahan namun PAS Kawasan Kluang terus bangkit dengan membuka pejabat baharu yang telah dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini.

“Baru lepas kalah DUN Mahkota dah naik pejabat baru. Maknanya tak jatuh semangat terus mengorak langkah. Banyak sejarah PRK, mereka menang, Pilihan Raya Umum mereka tak boleh buat macam PRK.

“Akhirnya pihak kita pula yang menang. Walau bagaimanapun begitulah perjuangan berjalan terus,” katanya.

JPRP PAS Kawasan Batu Pahat menyasarkan 100 tabung dengan setiap tabung menjana sekurang-kurangnya RM100 sumbangan di mana ia akan dikutip serentak tiga bulan dari sekarang.

Turut hadir di dalam program tersebut ialah Setiausaha PAS Negeri Johor, Zaini Hussein dan Ketua Penerangan PAS negeri, Abu Irfan Muhammad Al Urduni yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Pahat. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -