Serangan balas Israel tidak sasarkan kemudahan nuklear, minyak Iran

Suar gas pada platform pengeluaran minyak kelihatan bersama dan bendera Iran. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

WASHINGTON: Israel telah memberi jaminan kepada Rumah Putih bahawa serangan balas yang dirancang ke atas Iran tidak akan menyasarkan kemudahan nuklear atau minyak.

Laporan media Barat pada Isnin, waktu tempatan berkata, Israel telah berikrar untuk melakukan serangan balas selepas Iran melepaskan ratusan peluru berpandu balistik ke negara itu pada 1 Okt lalu, yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Israel terhadap pemimpin militan yang bersekutu dengan Tehran di rantau itu, bersama seorang jeneral dalam Pengawal Revolusi Iran.

- Advertisement -

Memetik pegawai Amerika Syarikat yang tidak dinamakan, Washington Post melaporkan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah meyakinkan Rumah Putih bahawa serangan balas yang difikirkannya akan menyasarkan hanya tapak tentera.

The Wall Street Journal, juga memetik pegawai AS yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, melaporkan bahawa  ikrar itu dibuat dalam panggilan antara Presiden AS, Joe Biden dan Netanyahu minggu lalu, serta dalam perbualan beberapa hari kebelakangan ini antara Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dan rakan sejawatannya dari Israel, Yoav Gallant.

“Perancangan itu ‘diterima dengan kelegaan di Washington’, lapor Washington Post.

Terdahulu, Biden telah memberi amaran kepada Israel agar tidak menyerang kemudahan nuklear atau minyak Iran bagi mengelak peluasan perang serantau selanjutnya dan di tengah-tengah kebimbangan kenaikan harga tenaga global.

Serangan Iran ke atas Israel pada 1 Oktober 2024 itu serangan langsung kedua Iran ke atas negara pengganas rejim Zionis itu selepas tembakan peluru berpandu dan dron pada April tahun ini, yang dilakukan sebagai tindak balas kepada serangan udara ke atas konsulat Iran di Damsyik yang dikaitkan dengan Israel. -Agensi/– HARAKAHDAILY 15/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -