
KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) membangkitkan kebimbangan mengenai pembangunan garis panduan baharu penggunaan tenaga dan air di pusat data yang dikatakan berpotensi menambah kos dan birokrasi dalam industri.
Menurut Mohd Syahir, terdapat rungutan daripada pemain industri yang merasakan garis panduan tambahan ini, walaupun bertujuan baik, mungkin menyulitkan pelabur dan memberi kesan kepada aliran pelaburan digital di Malaysia.
“Ada yang tidak puas hati dan menyatakan kebimbangan bahawa garis panduan ini, walaupun niatnya baik, mungkin menyukarkan pelabur dan menjejaskan aliran pelaburan digital di negara ini,” kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga menekankan kepentingan industri pusat data dalam membentuk landskap pelaburan digital negara dan berharap pihak kementerian dapat memberi penjelasan yang lebih jelas bagi memastikan langkah-langkah yang diambil tidak menjejaskan daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur dalam sektor digital.
Sebagai respons, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengakui pihak kementerian juga menerima maklum balas daripada beberapa pemain industri yang bimbang mengenai kos dan tahap birokrasi yang terlibat dalam pematuhan syarat baru tersebut.
“Memang ada beberapa pemain industri yang telah menyuarakan kebimbangan tentang birokrasi dan kos yang tinggi untuk memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Oleh itu, sesi libat urus sedang dijalankan, dan dalam masa dua hingga tiga minggu ini, kita akan memuktamadkan garis panduan tersebut,” kata Tengku Zafrul.
Pada soalan asalnya, Mohd Syahir meminta penjelasan mengenai status terkini garis panduan yang bertujuan untuk memastikan pusat data di Malaysia menyokong sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050. – HARAKAHDAILY 23/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!